Wednesday, December 7, 2011

Umno dalang sebenar isu tanah Padang Terap

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Disebalik janji manis para pimpinan Umno Padang Terap untuk menyelesaikan isu tanah di daerah itu, hakikatnya merekalah yang terlibat memanipulasi dan memperdayakan penduduk hingga menyerahkan pemilikan tanah suatu ketika dahulu.

Perkara itu didedahkan sendiri bekas pimpinan Umno Bahagian Padang Terap, Mat Isa@Mehat Saud.
Menurut beliau, para pimpinan Umno kini cuba menjadi jaguh memperjuangkan isu tersebut dan menghasut penduduk untuk menuding jari kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

Sedangkan perkara itu katanya, sengaja dibangkitkan bertujuan menutup segala kepincangan yang terdahulu.

“Umno suruh PAS korek balik bangkai gajah yang dia bunuh dan kambus (tanam) puluhan tahun yang lalu. PAS pula payah hendak korek balik sebab Umno kambus terlalu dalam.

“Maka, masa itulah Umno menangguk di air keruh dan mengambil peluang menghasut rakyat (untuk) maki hamun dan benci PAS,” ujarnya cuba beranalogi.

Beliau mengimbas kembali sejarah itu di mana para pimpinan Umno Padang Terap telah berperanan sebagai orang tengah (broker) mengambil milik tanah-tanah penduduk.

Katanya, oleh kerana percaya bahawa pengambilan itu bertujuan pelaksanaan projek perladangan di bawah Syarikat Milik Kerajaan (GLC) Negeri diserta dengan pelbagai janji, penduduk pun menyerahkan tanah mereka.

Malangnya, selepas itu tanah-tanah tersebut berpindah milik kepada syarikat perladangan swasta dan dijual dengan harga yang sangat murah seperti projek tanah rancangan Felcra Durian Burung dan projek Ladang Gula Padang Terap Berhad. Manakala para pimpinan Umno Padang Terap membuat keuntungan melalui peranan mereka itu.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Isa turut mencabar pimpinan Umno untuk membeli semula tanah-tanah tersebut dari korporat terbabit dan berikan semula kepada penduduk.

Perkara itu turut dikongsi rakannya yang merupakan bekas Ketua Umno Cawangan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Baru, Padang Sanai iaitu Mahmud Lebai Samaun.

Ujar Mahmud, penduduk tidak patut terus terpedaya dengan pemimpin Umno, sebaliknya mengenang kembali segala janji manis mereka semasa hendak mengambil tanah-tanah penduduk dahulu.

Antara janji tersebut terang Mahmud ialah penduduk boleh bekerja di ladang dan kilang sehingga tidak mampu untuk bekerja. Sebaliknya apabila tanah dijual kepada korporat yang hanya bertujuan keuntungan, mereka diberhentikan dan digantikan dengan buruh asing.

Malah katanya, penduduk juga diperdaya dengan janji untuk diberi lot ladang tebu selepas 10 tahun selain kebun getah, tanah sawah dan rumah kediaman di Bukit Iboi.

Hadir sama berkongsi isu tanah Padang Terap itu ialah Ketua PAS Cawangan Padang Sanai, Ustaz Ruslan Umar. Ceritanya, perkara seumpama juga menimpa para peserta tanah rancangan Felcra Durian Burung yang bersempadan dengan negara Thailand.

Tanah seluas 1,006 hektar yang telah pun ditanam pokok getah itu turut dijual dengan harga murah kepada sebuah korporat ternama. Sedangkan perjanjian pindah hak milik antara Pengarah Felcra Negeri dengan para peserta telah ditandatangani.

Malah ujar beliau, isu tanah yang berlaku turut melibatkan banyaknya kes pertindihan milik antara syarikat kroni dengan tanah pusaka persendirian. Malang sekali, terdapat beberapa kawasan yang telah dijadikan tanah perkuburan Islam terpaksa ‘dibongkar’ dan dicerobohi.

Hari ini jelas mereka bertiga, para pimpinan Umno berkenaan hanyalah pandai berjanji, namun tidak ada satu pun janji-janji itu ditunaikan.

Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget