Tuesday, December 20, 2011

NAJIB, TOLONG JAWAB ISU FELDA NI. KAMI MAHASISWA DAN RAKYAT NAK TAHU HAL SEBENAR.


KUALA LUMPUR, 21 Dis: Mahasiswa hari ini sekali lagi mendesak kerajaan menjawab beberapa kemusykilan berhubung penyenaraian Felda Global Vanture Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia. Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Akram Ikrami Taib Azamudden (gambar) berkata, ini kerana isu tersebut telah menjadi semakin kronik di mata awam apabila Pengarah Besar Felda dan timbalannya diarahkan bercuti dan ditukar keluar daripada Felda.
Katanya, Gamis melihat ada perkara 'besar' hendak disembunyikan kerajaan khususnya melalui campur tangan perlantikan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kerajaan mesti mendedahkan sebab-sebab Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab diarahkan bercuti dalam tempoh yang lama dan timbalannya juga ditukarkan ke JPA,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Ini, katanya kerana umum mengetahui khidmat mereka lebih 30 tahun di Felda sangat cemerlang.
Malah, ujarnya pengurusan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di bawah mereka berdua juga di tahap yang sangat cemerlang apabila mampu memberikan dividen tahunan sejumlah 10 hingga 16 peratus beberapa tahun kebelakangan ini, satu capaian yang mendahului koperasi lain di dalam negara ini.
Keduanya, kata beliau kerajaan mesti mendedahkan apakah sebab tanah Felda Plantation dan lain-lain tanah Felda dipajakkan dalam tempoh yang sangat lama iaitu 99 tahun dan benarkan bayaran pajakan ini hanya sekitar RM500 juta sahaja.
“Sedangkan kita mendapat maklumat Felda memperolehi keuntungan tiga hingga empat kali ganda lebih besar daripada nilai pajakan tersebut,” ujarnya.
Gamis juga, katanya menuntut kerajaan menjelaskan, apakah benar 'durian runtuh' yang dijanjikan diberi kepada peneroka hendak diambil wangnya daripada simpanan aset tetap Koperasi Permodalan Felda (KPF) milik peneroka dan kakitangan Felda yang berjumlah lebih RM1bilion.
Jika benar, ujar beliau ia suatu tragedi malang kepada peneroka dan Felda khususnya apabila mereka bukan sahaja ditipu dengan durian runtuh yang datang daripada wang mereka sendiri, bahkan akan meruntuhkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang berdaya maju sebelum ini.
Justeru, tambahnya Gamis mendesak kerajaan khususnya Perdana Menteri memberi penjelasan tanpa selindung terhadap beberapa kemusykilan tersebut.
Ini, ujarnya kerana Gamis berpandangan kerajaan cuba untuk 'menyembunyikan' sesuatu daripada mata peneroka di sebalik penyenaraian tersebut.
“Jika tiada jawapan daripada Perdana Menteri, kami sedia menggerakkan mahasiswa untuk bersama-sama memperjuangkan perkara ini hingga mendapat penyelesaian terbaik demi membela nasib rakyat.
“Ini bukan isu warga peneroka Felda semata-mata, tetapi ini isu kita selaku rakyat Malaysia. Kita bukan buat tuduhan, kita mahu penjelasan,” katanya lagi.
Sumber: Harakahdaily
Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...