Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meningkatkan integriti bagi menjamin pentadbiran yang bersih terhadap negeri tersebut.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, antara langkah tersebut adalah setiap Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikehendaki membuat deklarasi aset mereka yang akan dipaparkan melalui internet.
Katanya, DPP Malaysia menganggap deklarasi aset exco sebagai langkah baik dan penting bagi membuktikan bahawa setiap exco kerajaan negeri bekerja dengan penuh amanah, tanggungjawab, telus serta menunjukkan bahawa mereka bekerja untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan diri mereka sendiri.
Beliau berkata, apa yang berlaku di negara ini adalah, ramai dari kalangan pemimpin negara atau pemimpin kerajaan negeri gagal mengisytiharkan aset mereka.
“Ini mungkin disebabkan pemimpin ini bimbang kerana mereka mempunyai banyak kepentingan terhadap harta yang boleh dipersoalkan rakyat dan jika diisytiharkan harta mereka mungkin bernilai jutaan ataupun billion ringgit yang jauh daripada kemampuan sebenar mereka,” katanya kepada Harakahdaily.
Bagi DPP Malaysia, ujarnya pemimpin seperti itu bersikap tidak jujur kepada rakyat kerana mengambil kesempatan daripada kuasa dan pengaruh yang mereka miliki untuk mengaut sebanyak mana harta sama ada melalui perniagaan mahupun melalui rasuah.
Baginya, agak mengejutkan kerana ada ada pemimpin negara atau pemimpin kerajaan negeri yang mempunyai aset bernilai berbilion ringgit, hasil dari pemerintahan selama bertahun-tahun lamanya.
Persoalan yang timbul, ujarnya bagaimana mereka mendapat harta yang begitu banyak jumlahnya yang jauh daripada pendapatan mereka.
Katanya, sudah tentu perkara sebegitu akan menimbulkan persoalan di kalangan rakyat, adakah pemimpin itu bekerja untuk rakyat atau hanya untuk diri mereka sendiri.
Katanya, kesan daripada itu akan menyebabkan berlakunya pelbagai ketirisan dalam pentadbiran.
Beliau menambah, Laporan Ketua Auditi Negara 2010 menyaksikan berlakunya pelbagai masalah yang berpunca dari kecuaian dan ketirisan dalam pentadbiran di pelbagai agensi kerajaan.
Selain itu, kata beliau rakyat pula merasa kecewa kerana hasil kekayaan negara ini tidak dapat dikongsikan bersama.
Malah, katanya lagi masih ramai rakyat yang menderita kemiskinan serta terhimpit oleh kenaikan harga barang yang semakin meningkat di negeri yang kaya dengan hasil petroleum.
Oleh itu, ujarnya DPP Malaysia menyarankan kerajaan negeri-negeri lain agar mengambil kerajaan Pulau Pinang sebagai contoh terbaik dengan setiap pemimpin kerajaan mengisytiharkan asset mereka bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran dapat dijaga bahkan boleh dipertingkatkan.
“Tidak hairanlah jika kerajaan Pulau Pinang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan yang tertinggi di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010 dengan jumlah pelaburan RM12.24 bilion,” katanya.
Menurutnya, dengan hanya memerintah negeri selama tiga setengah tahun kerajaan negeri Pulau Pinang berupaya bangkit sebagai negeri terbaik dari sudut pentadbiran mengalahkan negeri yang diperintah Barisan Nasional yang telah memerintah selama berpuluh tahun lamanya.
Share