Pemuda Pas bantah pindah kes murtad ke mahkamah sivil - Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pemuda PAS membantah keras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mahu membawa kesemua kes murtad ke mahkamah sivil dan bukan lagi Mahkamah Syariah seperti sebelum ini.
Ini berdasarkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.
Media melaporkan, kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke
mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan
dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam
diselaraskan di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini tidak ada
penyelarasan kerana ada pesalah dibicarakan di mahkamah syariah dan ada
di mahkamah sivil.
“Kes murtad nanti akan berada di bawah
mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah kerana jika mahkamah syariah,
keseluruhan masalah tidak dapat diselesaikan sebab apabila disebut
murtad ia membabitkan pelbagai pihak termasuk bukan Islam.
“Jadi,
saya minta supaya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mengatur
pertemuan dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri bagi
memaklumkan kewujudan enakmen ini,” ujar Jamil Khir selepas mengadakan
pertemuan bersama enam pertubuhan bukan kerajaan Islam di sini kelmarin.
"Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa terkejut kerana kerajaan membuat
keputusan ini tanpa melihat kepada kesan kes ini terhadap umat Islam di
negara ini serta merujuk kepada nasihat para ulama’ terlebih dahulu.
"Sepatutnya
kes seperti ini dirujuk dahulu dengan semua pihak supaya tidak
menimbulkan pertikaian dan bantahan di kemudian hari," kata Exco Dewan
Pemuda PAS, Mohamad Firdaus Jaffar (gambar atas) dalam satu kenyataannya hari ini.
Beliau
yang juga anggota Parlimen Jerai berkata, DPP Malaysia melihat
keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai isu ini amat merbahaya dan
merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.
"DPP Malaysia
mempersoalkan, jika ianya dilaksanakan nanti, bagaimanakah mahkamah
sivil boleh memutuskan sesuatu hukuman yang berkait dengan syariat Islam
sedangkan mahkamah sivil tiada kuasa memutuskan hal-hal yang berkait
dengan undang-undang Islam?
"DPP Malaysia khuatir apakah hukuman kepada pesalah murtad nanti akan berdasarkan kepada hukuman Islam atau sebaliknya.
"Kalau demikian, apakah bidang kuasa mahkamah syariah sekiranya kes murtad juga akan dibicarakan di mahkamah sivil?" katanya.
DPP Malaysia berpandangan, kesan daripada keputusan ini adalah kuasa mahkamah syariah semakin mengecil dan kurang berperanan.
Mahkamah syariah hanya untuk mengendalikan kes-kes kecil seperti nikah, talak, harta pusaka dan lain-lain.
Manakala
kes-kes besar seperti murtad, jenayah, dan lain-lain pula dirujuk
kepada mahkamah sivil yang mempunyai peranan yang besar, katanya.
"Inilah
sistem sekularisma yang masih diamalkan dinegara ini selama ini yang
memisahkan antara perundangan menurut Islam dengan bukan Islam.
"Selain
itu, hukuman terhadap pesalah murtad juga akan dipandang ringan, malah
boleh dicabar oleh mereka yang bukan Islam," tegas beliau.
Apa
yang amat dibimbangkan, katanya, adalah hukuman murtad boleh
dipermain-mainkan oleh sesetengah pihak sehingga merendahkan kesucian
Islam.
Oleh itu, DPP Malaysia mendesak supaya Datuk Seri Jamil
Khir Baharom menarik semula usaha membawa undang-undang murtad ke
mahkamah sivil.
"Beliau perlu ingat bahawa undang-undang
pencegahan murtad seperti yang terkandung di dalam perundangan Islam
yang sebenar adalah hukuman yang datangnya dari Allah SWT, bukan
direka-reka oleh sesiapa pun.
"Mengubah hukum Islam yang
terkandung didalam Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW, adalah suatu
dosa yang besar dan boleh menyebabkan akidah seseorang itu tergelincir,"
katanya.
Share