Friday, December 9, 2011

Bersara 60 tahun: Apalah nasib bakal guru

Aziz Muda - Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Dis:
Kesan buruk dari langkah Kerajaan BN menaikkan umur persaraan kakitangan awam dari 58 kepada 60 tahun mulai dirasai sebahagian rakyat negara ini sekarang.

Antara golongan pertama yang menanggung kesan buruk itu termasuklah mereka yang terbabit dalam sektor pendidikan, terutama bakal-bakal guru.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berkata, langkah menaikkan umur persaraan itu pasti akan menyebabkan berlakunya pembekuan kenaikan pangkat di kalangan kakitangan kerajaan dan pengambilan kakitangan baru.

Menurutnya, perkara itu telah pun dibahaskan oleh beliau pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, tetapi telah dinafikan oleh menteri terbabit.

"Kini, ternyata apa yang saya nyatakan itu sememangnya benar dan tidak boleh dinafikan oleh pihak-pihak terbabit. Kesan buruknya antara lain turut melibatkan guru," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Risiko tersebut, menurutnya, lebih dirasai lagi oleh para guru dan bakal guru di negara ini apabila dalam masa yang sama terdapat pula pelbagai masalah dan kerenah yang melanda Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sehingga turut membabitkan sektor pendidikan negara.

Katanya, antaranya yang membabitkan isu penghinaan kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan di fakulti-fakulti pendidikan.

"Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan.

"Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa," tegasnya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah.

Kenyataan terbaru daripada Timbalan Menteri Pelajaran berkenaan 5,000 graduan sudah ditemuduga, tambahnya, juga dilihat amat mengelirukan.

"Ini menyebabkan ramai graduan ISMP yang mempertikaikan kenyataan beliau. Mereka bertanya, apa sudah jadi wahai KPM dan Timbalan Menteri? Janganlah buat kenyataan yang bertentangan dengan realiti," katanya.

Dalam masa yang sama, pelbagai pihak turut hairan apabila Kerajaan BN ingin pula membawa 13,000 guru asing untuk mengajar di negara ini.

"Ini menambahserabutkan lagi polisi KPM, apabila kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina," tegas beliau seperti yang turut dimuatkan di dalam websitenya www.nasirzakaria.com.

Ketika mereka yang teraniaya sedang bertungkus lumus berusaha mengatasi masalah yang dihadapi, Kementerian Pelajaran turut didesak menyatakan kesahihan dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan penempatan guru sehingga 7 bulan terhadap mereka yang terbabit.

"Ini kerana graduan ISMP seolah-olah dipermainkan dan diperbodohkan oleh KPM. Persoalan yang timbul ialah apakah ia berpunca daripada tiada perjawatan ataupun kerajaan tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pegawai pendidikan.

"Apa tidaknya, dari bulan ke bulan menanti hingga sekarang borang online masih belum ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum ini, jelasnya, sudah pelbagai isu yang muncul yang boleh menimbulkan kegelisahan warga pendidik yang menjadi tonggak pembangunan ilmu warga Malaysia, termasuk isu kuarters guru, isu 9 jam bekerja, isu elaun pengangkutan dan perpindahan yang belum berkesudahan dan wajib diselesaikan segera oleh Kementerian Pelajaran.

"Kepada warga guru yang telah menghabiskan empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan, seterusnya dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah, fikir-fikirkan dan buatlah pilihan tepat dalam PRU 13 nanti," katanya.

Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...