Monday, December 12, 2011

Tragedi NFC: Muhyiddin tak layak jadi PM

Harakahdaily.

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian yang menganugerahkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Seri Shahrizat Jalil adalah lebih bersalah daripada segi pentadbiran kerajaan dan etika kebertanggungjawaban seorang menteri.
“Ya, keluarga Shahrizat menerima dan tidak mengendalikan projek tersebut dengan baik, bahkan terdapat unsur-unsur penyalahgunaan dana wang rakyat, akan tetapi siapa yang meluluskan projek sebesar RM250 juta kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak layak mengendalikannya sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata adalah tidak adil untuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersifat pilih kasih dalam menyerang Shahrizat, dengan menyuruhnya ‘untuk berundur sebelum beliau diundurkan’ tapi tidak pada Muhyiddin.
“Dr Mahathir tidak sepatutnya pilih kasih dalam menegur Shahrizat dan tidak kepada Muhyiddin yang meluluskan projek ini. Sekiranya sikap Muhyiddin ini dibiarkan berterusan semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan seterusnya perdana menteri, berapakah lagi wang rakyat yang bakal terkorban?” soal Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang tidak lagi insaf dengan kesilapannya apabila menyatakan bahawa ‘NFC hanyalah isu politik yang dicetuskan Pakatan Rakyat’ dan terus mempertahankan projek tersebut walaupun kewujudan penyalahgunaan dana awam yang susah dipertikaikan.
“Bayangkan sekarang, Muhyiddin ialah bakal perdana menteri sekiranya apa-apa terjadi pada Datuk Seri Najib Razak, berapakah banyak projek di bawah kelolaan kementerian dan kuasa beliau yang akan berakhir seperti tragedi NFC. Bolehkah rakyat Malaysia menerima seorang bakal PM yang sedemikian?” soal beliau.
Selaku mentor Umno, Tuan Ibrahim berkata Dr Mahathir sepatutnya membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak berani menegur timbalannya, untuk menegur Muhyiddin atas dasar membantu Najib membetulkan pentadbirannya.
Apa yang pelik, kata beliau ialah bila mana hanya Shahrizat sahaja yang diminta berundur, sedangkan Muhyiddin tidak diarahkan berbuat demikian.
“Begitu juga dengan beberapa orang yang lantang mempertahankan penyelewengan ini, juga sepatutnya merasa malu kerana ia nyata bertentangan dengan norma biasa.
“Sekiranya Shahrizat disuruh berundur, Muhyiddin pun harus menerima nasib yang sama. Jika Shahrizat saja berundur, tapi tidak Muhyiddin dan lain-lain, percayalah rakyat akan terus mencengkam isu NFC sehingga semua yang terlibat berundur,” tambah beliau.
Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...