Wednesday, February 15, 2012

Pasar sehari pekan Naka : Isu Kesihatan Bukan Politik


PADANG TERAP, 13 Feb 2012 – Akibat masalah kesihatan seperti Demam Denggi dan Kencing Tikus di Pekan Naka, maka Majlis Daerah Padang Terap mengambil keputusan memberhentikan buat sementara waktu urusan perniagaan di Pekan Nat, Naka sehingga keadaan pulih seperti biasa.
Menurut Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Nazri Ahmad, pihaknya telah menerima aduan dari orang ramai yang mengatakan tahap kebersihan di Pekan Nat terbabit kurang memuaskan dan sebahagian peniaga tidak mengambil langkah kebersihan sewajarnya.
“Sebenarnya, pihak kami telah pun menghantar notis peringatan sebanyak dua kali kepada Koperasi Serbaguna Pekan Naka untuk menyelesaikan masalah kebersihan di tapak tersebut, namun tidak mendapat sebarang tindakan dari mereka.
“Oleh itu kita mengambil langkah  memberhentikan buat sementara operasi perniagaan di situ untuk tindakan tertentu terutama berkaitan dengan kebersihan,” jelas beliau ketika dihubungi.
Menurutnya lagi, pada 24 Februari ini akan diadakan gotong royong di bawah Program Kesihatan COMBI dan pada 15 Februari pula akan diadakan mesyuarat bersama Jawatankuasa Tetap Kebersihan Perlesenan dan Kemudahan Awam. Dalam mesyuarat tersebut satu kertas kerja akan dibentangkan untuk mengambil keputusan samada Pekan Nat berkenaan akan dibuka semua atau disambung penutupnya sehingga keadaan betul-betul memuaskan.
“Terlalu banyak aduan yang pihak kami terima. Tindakan ini sebagai langkah untuk memastikan kebersihan premis-premis jualan seperti ini dipelihara. Bukan di Pekan Nat ini sahaja, malah kami juga akan mengeluarkan notis kebersihan kepada pasar-pasar malam berhampiran,” sambungnya lagi.
Apabila ditanya berkenaan demontrasi yang menuntut agar pihak majlis menyediakan tapak perniagaan gantian, beliau berkata, tuntutan berkenaan adalah tidak wajar kerana tujuan pihaknya mengambil tindakan sedemikian adalah kerana sikap mereka sendiri yang tidak perihatan kepada kebersihan .
“Pihak kami tidak boleh memandang remeh dengan aduan orang ramai dan lebih-lebih lagi masalah kesihatan semakin mendadak di Pekan Naka dan demi kebaikan bersama langkah-langkah tersebut perlu dilakukan.
“Saya juga ada bersama semasa mereka mengadakan demo bantahan itu dan saya dapati ianya diketuai oleh pertubuhan NGO dari Kuala Lumpur iaitu IKHLAS dan yang turut serta berdemo itu bukanlah dari kalangan peniaga-peniaga tetapi orang lain yang tiada sangkutan dengan perkara tersebut,’ ujarnya lagi.
Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...