Wednesday, February 8, 2012

Nasrudin: Anak muda Islam boleh rai Hari Kekasih jika...




Anak muda Muslim dan Muslimah boleh meraikan kekasih hati terutama mereka yang telah berada diambang perkahwinan, sama ada sempena Hari Kekasih ataupun pada hari lebaran yang  lain, selama mana mereka memelihara adab dan akhlak Islam, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 03Menulis tulisannya di Harakahdaily dan turut dimuat dalam blognya, beliau berkata antara adab dan akhlak Islam tersebut ialah:

a] Pastikan tidak berdua-duaan, sebaliknya ditemani mahram;

b] Tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi; dan

c] Tidak melakukan perbuatan yang dilarang agama

"Mereka mungkin perlu bertemu pada saat-saat tertentu dengan memelihara adab dan akhlak yang telah saya nyatakan tadi, bagi mereka saling mengenali dan menyelami isi hati mereka sebagaimana mereka perlu membincangkan rancangan masa depan dan persiapan mereka menghadapi gerbang perkahwinan," katanya.

Namun, tegas Nasrudin, anak muda Muslim perlu mengelakkan budaya asing dan syiar agama lain dibawa masuk mewarnai corak dan gaya kehidupan mereka.

"Lantaran Islam sudah lengkap dengan tatacara dan gaya hidup yang indah dan mendamaikan.

"Islam tidak pernah menghalang kemahuan dan keperluan manusia tetapi Islam memurnikan kemahuan dan mengurus keperluan mereka agar tidak terhindar dari redha Allah swt Tuhan yang mencipta mereka," tambahnya.

Menurutnya lagi, meraikan kekasih hati tidak terhad kepada anak muda yang belum berumahtangga, bahkan terlebih wajar ianya diraikan oleh pasangan yang sudah berumahtangga, sama ada yang baru dibina ataupun yang sudah lama.

"Keraian tersebut boleh menyuburkan rasa kasih dan cinta yang sekian lama bersemi. Hubungan suami isteri bertambah intim dan keluarga kian erat.

"Terutama seorang pejuang, terlebih aula ia memiliki rumahtangga yang mendamaikan agar aksi di medan juang lebih berkesan," katanya.

Nasrudin mengesyorkan, sempena hari kekasih ataupun apa jua nama hari lebaran yang membawa maksud serupa, diraikan dengan hadiah dan ziarah.

"Jika melibatkan pasangan yang belum diijab kabul, pastikan tiga adab dan akhlak yang telah saya tegaskan tadi laksanakan.

"Tidak susahkan? Hanya perlu ditemani mahram seperti adik beradik ataupun ibubapa serta berpakaian menutup aurat.

"Ianya untuk keselamatan anda juga. Ingat, kita hidup di zaman yang sangat terdedah kepada kemungkinan maruah kita dicalar dan diragut dengan begitu mudah dan rakus  jika kita tidak mengambil langkah berhati-hati.

"Saya ucapkan selamat meraikan kekasih hati anda dengan akhlak Islami. Semoga rumahtangga anda, sama ada yang bakal dibina atau yang telah lama dibina, akan senantiasa dirahmati dan diberkati Allah swt.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, memadu kasih antara dua insan lelaki dan perempuan adalah antara nikmat anugerah Allah swt kepada ummat manusia.

"Malah kasih dan cinta yang berputik lalu berbunga dan berbuah inilah menjadikan bumi ini meriah dengan penghuninya. Namun Islam tidak menetapkan hari-hari tertentu untuk meraikannya.

"Adam dan Hawa pernah memadu kasih. Sunnah mereka berdualah menjadi fitrah ummah yang tidak mungkin boleh dipadam.

"Lantas Islam dibawa datang dari tuhan yang sama dengan tuhan yang telah mencipta manusia lalu menyatukannya dengan kasih dan cinta, malah tuhan yang sama jua telah menyusun kehidupan ini dengan penuh sistematik agar cinta tidak bernoda dan kasih tidak menjadi tragedi.

"Islam mensyariatkan institusi perkahwinan untuk meluruskan kasih dan cinta. Justeru itu, Islam mengizinkan lelaki dan perempuan saling membina perasaan, memupuk rasa kasih serta memekarkan bunga cinta antara mereka selama mana mereka tidak membiarkan syaithan dan iblis menjadi perantara  yang menjerumuskan hubungan mereka ke lembah maksiat dan mungkar," jelasnya.Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share it