Tuesday, November 22, 2011

Timbalan Menteri Belia& Sukan Jangan buat kenyataan jahat, tak berasas


Aziz Muda-Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Nov: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim diingatkan agar jangan membuat kenyataan jahat dan tidak berasas terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya berhubung layanan buruk peminat sukan Indonesia terhadap pasukan Malaysia.
Sebaliknya, kenyataan beliau yang menyalahkan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung layanan buruk yang diterima pasukan Malaysia oleh peminat sukan Indonesia pada Sukan SEA ke-26 di Jakarta, mestilah disertakan dengan bukti yang jelas.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, bagaimanapun, kenyataan Razali mengenai perkara itu jelas tidak berasas kerana ia tidak disertakan dengan sebarang bukti.
[Gambar: Nasir (kiri) dan Razali (tengah) turut menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 antara Malaysia dengan Indonesia menerusi skrin gergasi di Dataran Merdeka, malam tadi.]

Menurut beliau, malahan kenyataan Razali itu ternyata berniat jahat dan semata-mata untuk mencemarkan imej para pemimpin Pakatan Rakyat.

Katanya, kenyataan itu juga turut dilihat sebagai usaha beliau untuk menyembunyikan dan meletakkan kelemahan Kerajaan BN sendiri ke bahu para pemimpin Pakatan Rakyat.

"Jadi saya minta Datuk Razali jangan membuat kenyataan umum yang tidak berasas. Jika benar begitu, nyatakanlah siapa pemimpin pembangkang itu? Bila dia berkata begitu dan di mana?" katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Razali semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan 2012 peringkat kementerian itu di Dewan Rakyat semalam menyalahkan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung perkara itu.

"Mengapa mereka pendam kebencian sebegitu terhadap kita? Kenapa tidak Thailand? Mengapa tidak orang lain? Ia bukan kerana persepi penganiayaan terhadap rakyat Indonesia.

"Pada pendapat saya, ia adalah kerana pemimpin-pemimpin pembangkang yang seringkali ke Indonesia dan memburuk-burukkan negara ini.

"Mereka melabel perkataan buruk terhadap Malaysia, umpamanya ‘Maling’ yang dalam bahasa Indonesia bererti pencuri," kata Razali.

Malam tadi, pasukan bola sepak Malaysia, Harimau Muda, terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke Stadium Gelora Bung Karno bagi perlawanan akhir antara Malaysia dan Indonesia.

Langkah tersebut terpaksa dilakukan bagi keselamatan para pemain dan ia bukanlah asing buat skuad negara dalam menghadapi kira-kira 100,000 penyokong Indonesia yang mahu melihat Malaysia ditundukkan oleh negara itu.

Menurut Nasir, tuduhan seperti itu terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat ternyata tidak berasas, sebaliknya mereka sendiri sentiasa berusaha mengangkat martabat dan maruah negara di mata dunia dalam pelbagai bidang termasuk sukan.

Katanya, bagi para pemimpin Pakatan Rakyat, kepentingan negara dan semangat patrotisme mengatasi segala-galanya.

"Jadi tak mungkin para pemimpin Pakatan Rakyat yang memburukkan negara. Sebaliknya, pembangkang bukan kerajaan. Yang pegang polisi dan dasar-dasar kerajaan adalah kerajaan. Jadi kenapa pemimpin-pemimpin pembangkang pula yang dipersalahkan dalam perkata itu," ujarnya.

Beliau menegaskan, para pemimpin Pakatan Rakyat sememangnya menyokong penuh skuad negara, sejajar dengan usaha dan keinginan untuk mempertingkatkan mutu bola sepak dan sukan negara.

Sehubungan itu, beliau juga turut bersama-sama dengan Razali untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Harimau Muda dan Indonesia menerusi skrin besar di Dataran Merdeka malam tadi.

"Tindakan saya itu jelas membuktikan sokongan saya dan para pemimpin Pakatan Rakyat terhadap skuad negara dan ia sekali gus menolak dakwaan Datuk Razali itu," tegas beliau.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini turut kesal kerana kenyataan tidak berasas Razali itu turut disiarkan RTM.

"Kenyataan Datuk Razali itu ternyata kenyataan dari orang yang bermanteliti rendah dan tidak sepatutnya disiarkan oleh RTM. RTM atau pihak kerajaan sepatutnya malu menyiarkkan kenyataan dari orang yang bermantaliti rendah seperti itu," katanya.

Ketika bangun mencelah sewaktu Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat kementerian itu, beliau berkata, RTM turut menjadi stesyen penyiaran tanpa standard kerana menyiarkan kenyataan yang tidak mempunyai standard dari Razali itu.

Bukti kenyataan Razali itu tidak berasas, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, boleh dirujuk dengan langkah Nasir Zakaria sendiri yang turut menyokong skuad negara dengan turut mengikuti perlawanan itu menerusi skrin besar di Dataran Merdeka bersama-sama Razali sendiri malam tad
Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...