Tuesday, November 15, 2011

Seluruh Wat Siam Menerima Sumbangan Kerajaan Negeri Kedah: Lensa Pesta Loy Krathong Peringkat Negeri Kedah 2011 Di Wat Phikultharam Pedu Kedah



PEDU, 15 November 2011 - Tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa, Kerajaan Negeri Kedah bersetuju untuk meneruskan pemberian sumbangan sebanyak RM43 ribu kepada 43 Wat Siam di seluruh Negeri Kedah dan akan mengajurkan Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar, khas untuk belia Siam. Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Encik Muhammad Sanusi Md Nor berkata, seperti tahun-tahun lalu, kerajaan negeri bersedia memberi sumbangan wang tunai kepada 43 buah Wat Siam di seluruh Negeri Kedah. Setiap wat akan menerima wang tunai sebanyak RM1000 untuk aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan di wat masing-masing. Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili YAB Menteri Besar di Pesta Loy Kratong Peringkat Negeri Kedah di Wat Pedu Phikultararam. “Ustaz Azizan juga telah bersetuju agar kita menganjurkan Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar bagi seluruh belia masyarakat Siam di negeri in. Ianya akan diadakan pada bulan Disember nanti yang akan diuruskan oleh Urusetia Belia Negeri Kedah dengan kerjasama pemimpin-pemimpin belia masyarakat Siam. “Saya mohon kepada belia-belia yang meminati bola sepak diseluruh negeri untuk turut sama terlibat dalam kejohanan ini kerana ianya khusus untuk masyarakat Siam,” katanya. Tambah Sanusi lagi, Menteri Besar juga memohon agar tiada masyarakat yang merasa tersisih dari kalangan seluruh rakyat Negeri Kedah kerana jika ada mana-mana pihak yang merasa tersisih, tertinggal dan tidak dipedulikan, maka ini adalah satu kelemahn kerajaan negeri yang patut diatasi segera. Jika itu berlaku, masyarakat tempatan bolehlah berjumpa dengan Pengerusi Majlis Ketua Kampung, Ahli Majlis Daerah dan pemimpin politik setempat. “Seterusnya kita perlu bersama-sama meneruskan aktiviti gotong royong khususnya dalam bidang pendidikan. Semangat ini mesti diteruskan untuk memajukan seluruh rakyat di negeri ini. “Selain itu, sepanjang memerintah Kedah selama empat tahun, kerajaan negeri telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kemajuan ekonomi yang terbaik. Alhamdulillah sepanjang empat tahun memerintah, kita telah berjaya melakukan banyak perubahan,” ujarnya. Tambahnya, selepas mengambil alih kerajaan negeri, kerajaan negeri telah mengambil tindakan untuk menurunkan cukai tanah sehingga 25 hingga 75 peratus, menyebabkan kerajaan negeri ‘kerugian’ sebanyak RM50 juta setahun. Namun begitu dengan kecekapan yang ada, negeri dapat menampung kembali kerugian tersebut dengan keuntungan balak. Semasa pemerintahan kerajaan dahulu, Kedah hanya memeperoleh tujuh hingga lapan juta setahun tetapi sekarang di atas keluasan tanah yang sama kini Kedah memperoleh RM70 juta setahun. “Inilah yang terjadi apabila pemimpin memegang amanah kepimpinan kerajaan atas prinsip jujur, ikhlas, menolak rasuah, menolak penyelewengan dan mengutamakan rakyat,” ujarnya. “Pendapatan negeri yang bertambah dari tahun ke tahun akan dipulangkan kembali kepada rakyat melalui beberapa saluran, antaranya adalah Skim Kafalah iaitu mana-mana rakyat Negeri Kedah yang miskin dan mendaftar dengan e-Sinar yang kehilangan ahli keluarganya, kerajaan negeri beri bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM500,” terangnya. Ujar Encik Sanusi lagi, kerajaan negeri memberikan bantuan kepada pelajar memasuki IPTA sebanyak RM400 untuk program ijazah dan RM200 untuk program diploma. Kerajaan negeri juga memberikan bantuan kepada bidan kampung dan menaikkan bantuan minimum Jabatan Kebajikan Masyarakat daripada RM75 pada tahun 2007 kepada RM150. “Inilah pulangan balik kepada rakyat hasil daripada kecekapan pentadbiran yang dibuat oleh kerajaan negeri sekarang dan itu hanya pencapaian kita selama empat tahun. “Saya yakin kalaulah tempoh yang ada pada kita menyamai tempoh yang telah diberi kepada kerajaan yang dulu selama 53 tahun, maka rakyat Negeri Kedah akan dapat menikmati hasil yang lebih banyak seperti yang kita sebut dalam slogan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”. Beliau turut memohon kepada seluruh masyarakat Siam di negeri ini untuk terus memberi peluang kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ustaz Azizan dan seluruh ahli-ahli mesyuarat kerajaan, untuk terus diberi mandat agar terus melaksanakan kepimpinan yang lebih baik sehingga masa yang akan datang.Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...