Saturday, October 30, 2010

Bajet 2011 Dan Maqasid Syariah


20 minit berbahas dalam parlimen adalah satu yang meletihkan. Letih maksud saya ialah bagaimana ruang masa sesingkat itu boleh dimaksimumkan dengan membahaskan sejumlah RM 212 bilion pendapatan dan perbelanjaan negara untuk kesejahteraan rakyat.

20 minit berbahas dalam parlimen adalah satu yang meletihkan. Letih maksud saya ialah bagaimana ruang masa sesingkat itu boleh dimaksimumkan dengan membahaskan sejumlah RM 212 bilion pendapatan dan perbelanjaan negara untuk kesejahteraan rakyat.

Tema Bajet 2011 ialah Tranformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi. Bermatlamat
1. Mendaya kembali Pelaburan swasta
2. Membangunkan modal insan
3. Mensejahterakan Hidup Rakyat
4. Memantapkan Penyampaian Pengangkutan Awam

Saya menyelak-nyelak helaian-helaian berita program kerajaan yang tercerakin di merata-rata. Bermula dengan Wawasan 2020, RMK10 dan Bajet 2011. Seterusnya pelbagai istilah diperkenalkan;KPI, NKRA, GTP, ETP (Economic Transformation Program), EPP (Entry Point Projek), NKEA dan macam-macam lagi. Selepas meneliti semua itu, kesimpulannya semua itu perkara yang sama. Ia hanyalah cara PM Najib untuk menyeronokkan dan mengelabui rakyat.

Semua rancangan pembangunan yang disebut dan diulang-ulang sebut oleh PM Najib adalah sedutan daripada Wawasan 2020. Cuma pembangunan Koridor anjuran PM Pak Lah sahaja yang semakin kabur.

Saya mulakan perbahasan sahaja dengan mengingatkan Firman Allah Surah Al-Anbiya' ayat 107 "Dan tidaklah Kami (Allah), mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam". Ia adalah peringatan kepada diri saya dan seluruh warga Parlimen pada hari itu daripada Speaker, para Ahli Parlimen sampailah kepada staf dan kakitangan kerajaan serta rakyat seluruhnya.

Saya tekankan dalam perbahasan saya tentang Maqasid Syariah. Ia adalah tujuan atau objektif syariat Allah diturunkan kepada manusia yang merupakan pemakmur (khalifah) di muka bumi Allah. Setiap hukum yang Allah tetapkan untuk dilaksanakan oleh manusia mengandungi maqasid yang tujuan besarnya ialah untuk kebaikan atau kemaslahatan manusia itu sendiri. Kemaslahatan itu dicapai apabila semua hukum, undang-undang, arahan atau larangan Allah itu dilaksanakan yang semuanya mengandungi manfaat untuk manusia. Ia juga pada masa yang sama menolak atau mengangkat kemudharatan daripada manusia.

Maqasid Syariah dibahagi kepada tiga. Dharuriyyat (keperluan atau hak asasi), Hajiyat (keperluan atau hajat manusia) dan tahsiniyyat (maslahat dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak). Dharuriyyat adalah maslahah atau kebaikan yang yang mesti dipenuhi untuk menegakkan kemaslahatan agama dan dunia. Hajiyat pula bertujuan untuk menghilangkan kesempitan yang bolehmenyusahkan manusia. Tahsiniyat adalah bersifat penyempurna.

Perbahasan saya menekankan persoalan dharuriyyat. Ia juga disebut dharuriyyat al-khams (lima hak asasi). Ia merangkumi matlamat syariat untuk menjaga kesucian agama, memelihara nyawa, memelihara aqal, menjaga keturunan dan harta. Bajet kali ini dimulakan oleh PM Najib dengan Surah Al-Qasas ayat 77. Walaupun terjemahan bagi saya adalah permulaan yang baik. Ayat itu menyuruh kita mengutamakan akhirat. Juga disebut habuan dunia. Juga suruhan berbuat baik dan larangan melakukan fasad.

Saya meneliti bajet PM Najib yang merupakan peneraju negara dan Ketua Pentadbiran Malaysia. Permulaan bajet yang begitu cantik telah dihodoh dan diconteng dengan beberapa program yang saya umpamakan seperti sebelah tangan kita beri penawar, manakala sebelah lagi menyuap racun. Manakan tidak.. Ketika negara berdepan dengan keruntuhan moral dan akhlak, pembuangan bayi, perjudian, pelacuran malah beberapa hari kemudian diumumkan pula 12 program ETP yang antaranya bakal memusnahkan seluruh sistem nilai dan moral rakyat.

Saya memperingatkan laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara yang mengejutkan,, 257 000 bayi yang dilahirkan tidak berbapa di dalam surat lahir dari 2000 hingga Julai 2008. Walaupun disampuk oleh MP Kulim yang mengatakan maknanya dalam sejam ada dua anak luar nikah, saya meneruskan perbahasan saya mengenai rancangan yang diumumkan oleh PM Najib yang mengenepikan maqasid dalam program-programnya. Termasuk memperkasakan industri pelancongan.

Hasrat kerajaan termasuk mengumumkan menjelang 2014 ada 10 kelab malam besar. Satu kelab malam boleh menampung 900 orang. Tahun 2020 unjuran pendapatan ialah RM 1.8 bilion dengan 8000 peluang kerja. Niat kerajaan untuk mempermudah artis antarabangsa masuk Malaysia dengan syarat minimum juga saya sentuh. Ia hanya akan menjadikan segala program membina modal insan termasuk peruntukan RM 111 juta untuk PERMATA, 95 juta untuk SAR, puluhan juta lagi untuk sekolah bantuan modal dan ratusan juta untuk belia hanyalah satu PEMBAZIRAN.

Tangan kanan kita membina, manakala tangan kiri kita meroboh. Ia tidak mengubah apa-apa. So, apa jadi kepada maqasid.... Ya.. Ia masih lagi di dalam kitab.

http://www.nasirzakaria.com/ver3Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget