Friday, December 11, 2009

JPS di gesa segerakan projek tebatan banjir


KUALA NERANG – Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyegerakan projek penebatan banjir di daerah ini bagi mengatasi pelbagai kesulitan yang saban tahun membebankan penduduk.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa Kerajaan Pusat telah menurunkan peruntukan besar sebanyak RM800 juta melalui JPS untuk mengatasi masalah banjir di seluruh Kedah.

“Di Kedah, Padang Terap adalah daerah yang paling awal menghadapi bencana ini setiap tahun. Ini kerana di sinilah letaknya kawasan tadahan utama air bagi wilayah utara Semenanjung iaitu Empangan Pedu, Empangan Ahning dan Empangan Muda. Pada bila-bila masa banjir pun, penduduk di daerah inilah lebih awal akan menghadapi bencana banjir,” katanya.

Atas sebab itu, Mohd Nasir berkata, pihak berkenaan diharap mengambil langkah segera menjalankan projek mendalam, melebar dan meluruskan sungai yang menjadi punca banjir di daerah ini iaitu Sungai Padang Terap, Sungai Pedu, Sungai Janing dan Sungai Padang Sanai.

“Selama ini, limpahan air sungai-sungai inilah yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan dari Pedu, Kuala Nerang, Kurung Hitam, Semeliang, Kampung Rambutan, Padang Lanjut, Nai Teh hingga Kuala Pai.

“Antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan melebar, mendalam dan meluruskan sungai-sungai di daerah ini supaya aliran airnya lebih deras, tidak tersekat dan dapat mengalir dengan lancar terus ke laut,” katanya.

Mohd Nasir berkata, fenomena banjir di daerah Padang Terap bukan sahaja membebankan penduduk kawasan itu malahan juga menyebabkan kemusnahan kepada penduduk di beberapa daerah lain yang berhampiran.

“Apa yang berlaku setiap kali musim banjir ialah air bah dari kawasan Padang Terap kemudiannya akan mengalir ke daerah berhampiran iaitu Pokok Sena, Kubang Pasu dan Kota Setar.

“Disebabkan itu, kita dapat lihat meskipun tidak ada hujan lagi, daerah-daerah yang berkenaan akan terus dinaiki air yang melimpah daripada banjir di Padang Terap. Kejadian ini membawa kemusnahan yang bukan sedikit serta amat menjejaskan penduduk,”katanya.

:Apa yang menyedihkan beliau, kata Mohd Nasir, golongan yang paling teruk menanggung kerugian akibat bencana ini ialah petani yang usaha mereka selama berbulan-bulan menanam padi, musnah dalam sekelip mata apabila apabila bendang mereka ditenggelami air bah.

“Bagi orang lain, kerugian yang ditanggung mungkin hanya dari segi harta benda tetapi bagi golongan petani, inilah periuk nasi mereka. Sudahlah harta benda musnah, sumber rezeki mereka pula terjejas,” katanya.

:Menurutnya, meskipun petani yang mengalami kerugian akibat bencana banjir akan menerima pampasan daripada kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Pengairan Muda (Mada) namun kenyataannya, pembayaran pampasan itu tetap melibatkan pengeluaran wang rakyat secara berterusan setiap tahun.

“Kerana itulah saya kira, adalah lebih baik jika kerajaan dapat mengeluarkan satu belanja yang besar dengan usaha yang konkrit untuk memastikan masalah ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Lebih banyak wang rakyat dapat dijimatkan jika usaha mengatasi masalah ini dilakukan dengan langkah yang berkesan,” katanya.

Mohd Nasir berkata, apabila dimaklumkan bahawa Kerajaan Pusat ada menurunkan peruntukan besar melalui JPS besar bagi mengatasi masalah ini, beliau selaku wakil rakyat rasa amat berbesar hati dan berharap pihak berkenaan (JPS) dapat melaksanakan projek itu dengan segera.

“Ini memandangkan penduduk kawasan ini sudah teruk menderita akibat masalah banjir setiap tahun dan mereka kalau boleh tidak mahu berhadapan dengan masalah itu walau sekali saja pun lagi,” katanya.

sinar harianShare
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...