Saturday, November 14, 2009

BN MENANG,KEDAH SENANG , SIAPA KENYANG????


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
http://dppnkedah.blogspot.com/

KOTA SARANG SEMUT: Setiausaha PAS Kedah, Senator Muhamad Yusuf Husin secara sinikal melontarkan persoalan untuk dijawab Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah di atas pelancaran slogan atau tagline baru “BN Menang, Kedah Senang”.

“Soalnya siapa yang senang? Kerana kalau kita tengok dalam beberapa contoh termasuk premium balak, tahun 2007, premium balak hanya RM9 juta lebih.

“Tetapi tahun 2008, walaupun kita (Pakatan Rakyat) ambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008, iaitu dalam keadaan banyak kawasan balak sudah ditebang, (perolehan) hasil balak telah melonjak RM28 juta lebih,” ujarnya kepada Harakah, 8 November lalu.

Jelas beliau, bagi tahun 2009 yang berakhir bulan Oktober lalu, premium balak sudah mendatangkan hasil lebih RM40 juta.

Oleh itu katanya, jika dibandingkan RM9 juta hasil diperolehi semasa pemerintahan BN berbanding RM40 juta di bawah Pakatan Rakyat, bermakna terdapat perbezaan sebanyak RM31 juta.

“Kalau dulu, sepatutnya mesti boleh dapat juga RM40 juta, tetapi realitinya berlaku kekurangan RM31 juta, ke mana pergi RM31 juta itu? Tentulah ianya satu ketirisan. Jadi soalnya, jika BN menang, siapa sebenarnya yang senang?

“Itu baru premium balak, kita belum kemukakan fakta hasil bumi yang lain. Kalau boleh dilihat kembali laporan Ketua Audit Negara mengenai prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah kini dalam menjaga hasil bumi, terbukti semua hasil bumi, 100 peratus masuk kepada kerajaan negeri, tidak berlaku sebarang ketirisan, ini telus,” terangnya.

Maka ujarnya, apabila BN melancarkan slogan itu, rakyat perlu tahu pihak yang sebenarnya akan senang sekiranya BN menang.

Yusuf turut menyanggah dakwaan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Dato’ Ir Nawawi Ahmad bahawa tiada pelaburan besar di Kedah yakni kosong peratus.

Tegas beliau, dakwaan Nawawi adalah tidak munasabah sedangkan di Taman Teknologi Tinggi Kulim jumlah pelabur kian bertambah termasuk pembukaan fasa baru.

“Begitu juga dengan Sungai Limau Hydrocarbon Hub (SULIHH) yang sedang diusahakan, pelaburannya sangat besar. Jadi sangat hairan kalau Umno ‘tidak nampak’,” ujarnya menyindir.

Menurut beliau, SULIHH pada tahun 2014 akan mendatangkan hasil sebanyak RM400 juta.

Jelasnya, jumlah RM400 juta tersebut merupakan sekali ganda pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri dari pendapatan sedia ada.

“Ini tambahan kepada kerajaan negeri, bukan tambahan kepada pendapatan pimpinan kerajaan negeri,” ujarnya menyindir lagi.

Tegas beliau, dengan jumlah besar itu sudah tentu dapat disalurkan kepada projek-projek yang akan mensejahterakan rakyat negeri Kedah.

Antaranya ujar beliau, Menteri Besar sendiri selalu menegaskan bahawa 10 peratus hasil tersebut akan diperuntukan kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Oleh itu jelas Yusuf, Nawawilah sebenarnya yang gagal melihat pencapaian kerajaan negeri kini secara spesifik.

Beliau turut mengajak Nawawi melihat usaha kerajaan negeri kini melalui projek untuk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil yang disifatkannya sebagai satu projek besar.

Ujarnya, berbeza semasa di bawah BN dulu, KUIN hanya ‘diam’ di Shahab Perdana dengan kemudahan yang terhad sedangkan kerajaan kini meletakkannya dikedudukan terbaik.

“Jadi jika rakyat merasakan bahawa usaha kerajaan kini perlu disokong hingga berjaya mencapai sasaran, maka rakyat boleh membuat pilihan.

“Sama ada hendak orang tertentu sahaja yang senang apabila BN menang, atau berkehendakkan kesejahteraan seluruh rakyat negeri Kedah?” ujarnya memberikan kesimpulan.

Nawawi dalam kenyataannya, 7 November lalu memaklumkan pemilihan tagline tersebut yang akan dilancarkan Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena program ‘Gerak Mesra 1Malaysia’ di Sekolah Agama Yan, 12 November ini.Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget