Sunday, April 28, 2013

Mohd Nasir ada kelebihan pertahan Padang Terap



Mohd Nasir menyampaikan khutbah di sebuah masjid dalam kawasan Parlimen Padang Terap.


PADANG TERAP: Kawasan Parlimen Padang Terap mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu N.07 Kuala Nerang dan N.08 Pedu.

Pada Pilihan raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, calon PAS yang bertanding di P.007 itu, Ustaz Mohd Nasir Zakaria yang mendapat 15,003 undi menewaskan calon BN, Datuk Ghazali Ibrahim dengan majoriti 369 undi.

Kemenangan itu boleh dianggap sebagai suatu ‘keajaiban’ kepada beliau kerana kedua-dua Dun berkenaan dimenangi oleh calon BN. Syed Sobri Syed Hashim yang mendapat 7,856 undi memenangi Dun Kuala Nerang dengan majoriti 805 undi, sementara Dun Pedu dimenangi oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan majoriti 2,733 undi.

Jika diukur daripada keputusan PRU12 itu, Mohd Nasir mempunyai kelebihan pada pilihan raya umum kali ini yang diamanahkan oleh PAS untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.

Anak kepada penebang tebu sementara ibunya adalah penoreh getah amat memahami suasana kehidupan masyarakat di Padang Terap terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Beliau yang mempunyai hubungan erat dengan anak-anak muda di kawasan Parlimen Padang Terap tidak bermasalah untuk melibatkan diri secara langsung dengan aktiviti mereka.

Bahkan, penglibatan beliau dengan enam badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan golongan belia dan beliawanis memberi kelebihan kepada Mohd Nasir untuk mendapat sokongan pada PRU13 ini.

Dengan kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), memudahkan beliau bergiat dalam persatuan dan pertubuhan yang membabitkan golongan korporat.

Tambahan pula, beliau yang pernah menjadi pensyarah kontrak Kolej Kewangan dan Perbankan Islam, Bank Islam dapat menggunakan pengalaman itu untuk dikongsi dengan mereka.

Hubungan baik dengan golongan berkenaan dan penglibatan beliau dalam program anjuran mereka menambahkan lagi kekuatan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap.

Mohd Nasir yang berkelulusan Sarjana Muda Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya langsung tidak mempunyai masalah untuk menjayakan program keagamaan yang melibatkan masyarakat Islam.

Beliau banyak menyampaikan kuliah, berkhutbah, menguruskan jenazah dan lain-lain yang sekaligus dapat merapatkan hubungan dengan masyarakat Islam dalam kawasan Parlimen Padang Terap.

Selain itu, beliau sering turun padang dan menziarahi rakyat yang ditimpa musibah menjadikan hubungannya dengan masyarakat tempatan bertambah erat.

Biarpun pada PRU13 ini berdepan dengan calon BN, Mahdzir Khalid dan Muhammad Bazli Abdullah (Bebas), namun Mohd Nasir tetap menaruh harapan yang tinggi mempertahankan kemenangan yang sekaligus menyumbang kerusi kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Dengan jumlah pengundi seramai 42,045 orang yang melibatkan Melayu (92.68%), Cina (1.4%), India (0.2%) dan lain-lain (5.72%), beliau selaku anak tempatan dilihat mempunyai kelebihan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat selaku Ahli Parlimen Padang Terap yang bakal direalisasikan oleh para pengundi pada 5 Mac nanti.

Credit to Harakahdaily

Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget