KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membuat penstrukturan
semula subsidi yang diberikan kepada penjana tenaga bebas (IPP) untuk
mengelakkan berlakunya kenaikan kadar tarif elektrik.
Ahli
Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria berkata, pemberian subsidi
sebanyak RM19 billion kepada IPP itu perlu dilihat semula oleh kerajaan.
Malah
katanya, melalui penswastaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah
menjadi penyumbang wang tunai kepada IPP yang membuat keuntungan besar.
Akibat
tekanan itu, katanya, TNB telah merayu kepada kerajaan untuk
meningkatkan tarif bagi mengatasi kedudukan kewangannya yang terjejas.
"Akhirnya,
TNB akan menaikkan tarif elektrik di mana pengguna akan terus menjadi
mangsa," katanya dalam soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Beliau
turut membangkitkan soal pembahagian dan penghantaran tenaga yang
dimonopoli oleh TNB perlu dipecahkan agar wujudnya persaingan bagi
mengelakkan berlakunya kenaikan tarif elektrik sewenang-wenangnya.
"Pemonopolian
perlu dipecahkan, supaya ada persaingan. Persaingan ini bukan sahaja
ianya sihat yang penting dapat mengurangkan beban yang ditanggung
pengguna akibat kenaikan tarif elektrik," katanya.
Sebelum itu
dalam sesi soal jawab, Nasir mengemukakan soalan asal yang meminta
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan tarif terkini
elektrik untuk semua katagori pengguna dan bagaimana pelarasan tarif
dilakukan oleh TNB dan nyatakan tahun pelarasan di lakukan. Share