Sunday, April 8, 2012

 Tempat belajar ada tetapi kerja tiada.


KUALA LUMPUR, 4 April: Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) mendakwa kerajaan tidak serius dalam menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan belia di negara ini tetapi hanya tempat belajar sahaja kerana ia satu perniagaan.

Kerajaan seolah-olah hanya menyediakan tempat pengajian kepada pelajar lepasan menengah tanpa merangka rancangan khusus untuk menempatkan mereka di pasaran kerja.

Nasir berkata demikian sebagai respons kepada jawapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah kepada soalannya di Dewan Rakyat hari ini.

"Kewujudan kolej ini menunjukkan kerajaan tak mempunyai rancangan khusus untuk graduan mendapat kerja, hanya menyediakan tempat untuk belajar," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan bilangan universiti dan kolej universiti swasta yang wujud
di dalam negara dan bilangan universiti dan kolej universiti swasta yang mendapat geran serta jumlah universiti dan kolej universiti swasta.

Timbalan Menteri dalam jawapannya memberitahu, sehingga 31 Januari 2011 bilangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bertaraf universiti dan kolej universiti serta kampus cawangan universiti luar negara adalah sebanyak 49 buah iaitu 24 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta dan lima kampus cawangan universiti luar negara.

Jumlah keseluruhan IPTS termasuk universiti swasta, kolej universiti swasta dan kampus cawangan luar negara adalah sebanyak 485 buah.

Jumlah pelajar yang menuntut di semua IPTS adalah seramai 541,629 orang.
Sehubungan itu, Nasir mengemukakan soalan tambahan dengan meminta pihak kementerian menyatakan langkah yang diambil untuk memastikan penuntut-penuntut tersebut mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.

Beliau berkata, karnival kerjaya yang dianjurkan pemuda BN membuktikan kadar pengangguran yang serius apabila 300 ribu belia menghadirinya.

Timbalan Menteri bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut secara tepat sebaliknya hanya memuji pemuda BN yang menganjurkan karnival tersebut.

"Kerajaan tak menjawab apa usaha kerajaan untuk memastikan graduan mendapat pekerjaan," katanya.

Nasir turut menyatakan kebimbangan jika kerajaan hanya menyediakan IPTS semata-mata untuk mengaut keuntungan.

"Kita bimbang kewujudan kolej-kolej ini hanya satu bentuk perniagaan, bagi orang masuk belajar tapi tak ada kerja selepas keluar," katanya.
Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share it