Sunday, September 25, 2011

Pemuda Gerakan Minat Islam


Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) mengikuti dengan teliti polemik yang berlegar sekitar isu hudud. Pelbagai pihak mengeluarkan pandangan yang kekadang tersasar daripada tujuan sebenar dan semangat undang-undang hudud itu sendiri. Ingin ditegaskan bahawa semangat dan roh kepada undang-undang ialah keadilan. Keadilan Islam mengatasi batas agama, bangsa ataupun warna kulit seseorang. Sepertimana Islam mewajibkan keadilan dilaksanakan kepada seorang Islam, keadilan juga wajib kepada orang bukan Islam.

DPPNK ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudara Tan Keng Liang, sahabat kami dan merupakan Ketua Pemuda Parti Gerakan Kedah. Kami amat menghargai keperihatinan beliau terhadap isu-isu yang membabitkan Islam. DPPNK percaya, kenyataan beliau yang disiarkan pada 24 September 2011 di dalam akhbar Sinar Harian adalah cetusan dhamir beliau dan kefahaman beliau terhadap Islam. Beberapa perkara yang kami fahami daripada kenyataan beliau itu wajar kita renungkan bersama.


Pertama. Kenyataan beliau DPPNK petik. "Keng Liang berkata, seharusnya tidak ada paksaan bagi seseorang untuk menerima undang-undang agama lain". Inilah satu kenyataan yang tepat. Sesungguhnya Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain menerima Islam. Malah Allah berfirman di dalam al-Quran, "Tidak ada paksaan di dalam agama". Malah dalam perlaksaan hudud juga sebagai sebahagian daripada undang-undang Islam di samping qisas dan ta'zir tidak melibatkan orang bukan Islam. Mungkin saudara Keng Liang sudahpun maklum tentang hal itu. Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan hanya melibatkan orang muslim.

Kedua. Saudara saya Keng Liang juga berkata “parti itu (PAS) perlu memperincikan undang-undang hudud yang mahu dilaksanakan supaya orang bukan Islam dapat memahami secara lebih jelas cadangan itu”. Alhamdulillah, DPPNK percaya kata-kata ini lahir dari keihlasan saudara Keng Liang mewakili rakan-rakan di dalam Parti Gerakan. Sebenarnya, Undang-undang ini sudahpun diluluskan di Undangan Negeri Kelantan. Ia dinamakan Enakmen Undang-undang kanun Jenayah Shariah (ii). Sebelum ia dibentang dan diluluskan, ia telah diseminarkan, dibahaskan bahkan dibuka kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi pandangan.DPPNK menyambut baik kesediaan saudara dan rakan-rakan untuk kita sama-sama duduk semeja belajar memahami agama masing-masing. Sudah tentulah beliau akan mendapat gambaran yang bakal disampaikan oleh pakar berkenaan persamaan atau perbezaan dengan Arab Saudi, Iran atau Afghanistan.

Ketiga. Beliau juga mengatakan bahawa tidak ada di dalam dunia yang mengamalkan dua sistem perundangan berbeza secara serentak . Bagi DPPNK, sekiranya perundangan seperti itu berlaku di Malaysia dan ia terbukti membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat, ia lebih baik. DPPNK percaya, itulah yang semangat yang sama-sama kita dokong. Sekiranya belum wujud negara seumpama itu di dunia, marilah kita sama-sama realisasikan. Malaysia boleh!
Keempat. Saudara saya juga dipetik berkata. “Undang-undang Syariah sudah memadai untuk orang Islam”. Inilah yang cuba PAS laksanakan. DPPNK merasakan bahawa, Saudara Keng Liang perlu mendapat lebih banyak maklumat berkenaan Islam. DPPNK mencadangkan kenyataan saudara difahami di luar konteks sebenar. Duduk semeja adalah jawapan. DPPNK percaya kesungguhan Saudara untuk memberi ruang kepada Perundangan Islam dilaksanakan walaupun ianya sudah melangkaui agama lain. Apapun kita akan terus berdialog dan DPPNK mengambil sikap untuk tidak mencampuri urusan agama lain.
Kelima. DPPNK merasakan kenyataan saudara Keng Liang dan perbincangan DPPNK bersama beliau kelak adalah masih bersifat akademik. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuklah kefahaman terhadap Perundangan Islam, dialog, Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya. Sudah tentulah terlalu banyak isu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Undang-undang Syariah boleh dilaksanakan. Namun kesediaan saudara untuk berdialog adalah satu perkembangan yang amat baik. DPPNK bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu bagi membaiki dan memperkemas lagi hubungan yang sudah sedia terjalin.

YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap
Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget