Sunday, June 6, 2010

Kebajikan Rakyat Agenda Utama YB Ustaz Nasir-SINAR HARIAN



KUALA NERANG - Menjadi tanggungjawab pemimpin dalam membantu dan menyelesaikan masalah rakyat agar mereka dapat hidup aman damai walaupun di pedalaman.

Oleh itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria meneruskan agendanya dalam usaha membantu dan menaikkan taraf hidup penduduk dengan turun padang menziarahi penduduk miskin yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, walaupun mempunyai jadual harian yang padat, kebajikan penduduk diutamakan kerana mahu memperjuang nasib rakyat.

Beliau, yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Padang Terap dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah berharap nasib rakyat akan terus terbela.

“Saya sangat memahami keadaan penduduk di sini yang kebanyakan mereka adalah golongan miskin. Saya juga bukan daripada keluarga mewah dan disebabkan itu, sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat memastikan agar bantuan dapat disalurkan.

“Pihak saya akan mencari dana dan peruntukan untuk membantu penduduk bagi saya buktikan kepercayaan mereka selama ini terhadap saya,” katanya yang turut turun padang bersama Persatuan Al Masakin Padang Terap (Terapcare).

Beliau mendengar sendiri masalah penduduk di Padang Sanai dan berharap masalah itu dapat diselesaikan segera.

“Sebanyak 25 rumah saya kunjungi di Padang Sanai dan sekali gus memberikan bantuan kepada penduduk.

“Walaupun bantuan yang diberikan tidak seberapa, namun saya percaya keberkatan di sebaliknya dapat membantu penduduk.

“Saya harap dengan jawatan dan kepercayaan rakyat kepada saya, daerah ini akan terus membangun dan penduduk akan rasa dihargai kerana mereka adalah tunggak utama pembangunan kawasan ini dan saya akan cuba luangkan banyak masa bersama rakyat di sini,” katanya.

Turut bersama beliau dalam lawatan ke Kampung Padang Sanai ialah Bendahari Dewan Pemuda Pas Padang, Abu Soffian Hj Ghazali dan ahli jawatankuasa Pas Kawasan Padang Terap, Md Isa Saud dan Ibrahim Ahmad.Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...