Thursday, April 1, 2010

Lanjutan Isu projek 8 jambatan Naka-Nami Tak Siap Sejak 2008 / Siapkan lapan jambatan ikut jadual -SINAR HARIAN 1 APRIL 2010


KUALA NERANG – Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria meminta agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dapat memastikan projek pembinaan lapan jambatan di jalan Naka – Nami yang melibatkan kos sehingga RM16.38 juta tidak berdepan masalah.

Menurutnya, jika kontraktor gagal menyiapkan projek itu mengikut jadual ia bukan sahaja menyebabkan orang ramai tidak dapat menggunakan kemudahan itu mengikut tarikh sebagaimana yang dirancang malah, menimbulkan pelbagai masalah lain kepada mereka, terutama yang tinggal berdekatan kawasan pembinaan.

“Mengikut kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor dalam jawapan kepada soalan saya di Dewan Rakyat kelmarin, projek itu sepatutnya siap pada 12 Julai 2009.

“Apabila kontraktor tidak dapat menyiapkan projek itu mengikut jadual, menteri menyatakan bahawa pihak JKR kini sedang dalam proses untuk mengeluarkan tender baru, saya harap mereka dapat memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali, ” katanya.

Mohd Nasir berkata, apa yang berlaku dalam pelaksanaan tender yang terdahulu adalah sangat mengecewakan apabila pihak kontraktor hanya mampu menyiapkan 25 peratus kemajuan fizikal sehingga berakhir tempoh lanjutan masa 183 hari diberikan.

“Bagi saya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Sehubungan itu, saya berharap pihak JKR dapat memilih kontraktor yang benar-benar layak dan mempunyai rekod yang baik untuk memastikan lapan projek jambatan itu dapat disiapkan mengikut jadual. Saya tidak mahu penduduk di kawasan ini terus menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Menurutnya, JKR perlu memastikan dalam tempoh 18 bulan setelah kontraktor baru dilantik, projek itu dapat disiapkan sepenuhnya.

“Kita tidak mahu, sudahlah tempoh 18 bulan dulu gagal, 18 bulan akan datang juga gagal. Jika ini yang berlaku, kita harap JKR dapat bertindak dengan lebih tegas untuk menjadi pengajaran kepada semua kontraktor supaya lebih bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Nasir berkata, kesemua lapan jambatan itu sememangnya sangat penting bagi penduduk daerah ini dan daerah Sik saling berulang alik.Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...