Monday, December 7, 2009

Tiada Sebab Tolak PAS Di Kota Siputih

OLEH YB USTAZ MOHD FIRDAUS JAAFAR
http://mohd-firdaus-jaafar.blogspot.com/


Enam nama disebut-sebut sedang menghidu peluang untuk dinobatkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Kota Siputeh yang diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akibat ketidak pekaan bekas wakil rakyatnya terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Keenam-enamnya dilaporkan sedang berlumba-lumba membina empayar masing-masing bagi memberikan gambaran kekuatan dan penerimaan akar umbi terhadap diri masing-masing untuk terpilih sebagai calon dalam PRK Kota Siputeh sekiranya berlaku.

Tinjauan di sekitar Kota Siputeh mendapati ada di antara yang tercatat namanya giat menonjolkan diri di khalayak ramai dan ada yang tidak lekang dengan songkong hitam tinggi yang sinonim dengan parti perkauman itu siang dan malam.

Pergerakan wanita parti itu juga makin giat melobi calon pilihannya seolah-olah pertubuhan berasaskan bangsa itu akur dan taat dengan perundangan yang digunapakai di negara ini.

Walau bagaimanapun keputusan Mahkamah Rayuan 24 November lalu, yang memberi kemenangan sementara kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedikit merencatkan keghairahan mereka yang tidak sabar-sabar menantikan writ PRK bagi N.3 Kota Siputeh dikemukakan.

Di satu pihak lain, PAS yang diberi mandat menggalas cabaran Pakatan Rakyat (PR) di kubu kuat Umno itu terus merangka persiapan dan gerak kerja pilihan rayanya tanpa membayangkan siapakah calon yang bakal dipertaruhkannya bagi membolehkan kubu Umno itu dirobohkan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak, parti itu telah menyenarai pendek nama-nama calon dan pemilihannya akan memberi keutamaan kepada individu yang boleh diterima rakyat di kawasan itu.

Pilihan raya umum lalu menyaksikan kekalahan tipis calon PAS, Ismail Wan Teh di tangan calon BN, Dato' Abu Hasan Sarif dengan majoriti hanya 495 undi.

Sekiranya kajian Zentrum Future Studies Malaysia seperti yang dibentangkan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah di Markas PAS Taman Melewar baru-baru dan juga keputusan PRK Bagan Pinang, 11 Oktober lalu diambil kira, nampak seperti tidak ada ruang untuk PAS merobohkan kubu kuat Umno itu.

Sebaliknya, jika semangat dan kerjasama di antara komponen dalam PR semasa siri-siri PRK selepas 8 Mac 2008 diguna pakai, BN nampak goyah untuk mempertahankan kerusi kuatnya itu.

BN nampak seperti takut-takut dan bimbang untuk berdepan dengan PRK di Kota Siputeh walaupun sentiasa menzahirkan kesediaannya menghadapi kemungkinan di situ. Berbeza dengan PAS yang sentiasa mengalu-alukan dan bersemangat meneruskan kemaraan parti itu walaupun dikejutkan dengan kekalahan besar calonnya di Bagan Pinang.

Bagan Pinang dan Kota Siputeh adalah berbeza sama sekali walaupun dikategorikan kubu kuat Umno sejak bumi ini dijadikan. Penganalisa politik mentafsirkan pertembungan kedua-dua parti kali ini adalah di atas padang yang sama rata berbeza sekali dengan apa yang dihidangkan di Bagan Pinang.

Disebabkan faktor itulah Umno dan BN masih terkial-kial mencari rentak di Kota Siputeh walaupun acap kali pemimpin besarnya menterjemahkan kemenangan besar mereka di Bagan Pinang sebagai penerimaan semula rakyat kepada mereka.

Jika dilihat dari aspek pentadbiran negeri, tidak ada sebab pengundi di Kota Siputeh untuk tidak memilih calon yang bakal diketengahkan oleh PAS nanti. Pentadbiran PAS di Kedah terbukti berjaya memberikan keyakinan Ketua Audit Negara seperti yang dizahirkan dalam laporannya baru-baru ini.

Keupayaan kerajaan negeri meningkatkan hasil dan menguruskan kewangan negeri mendapat pujian dan sanjungan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan sidang DUN Kedah di kala kerusi Kota Siputeh baru diputuskan statusnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saranan Tuanku Sultan agar dicontohi pendekatan kerajaan baginda memajukan negeri membuktikan keupayaan PAS dan PR mentadbir walaupun baru setahun jagung diberi amanah menerajui pemerintahan negeri.

Dalam situasi serba kekurangan dan tekanan dari pemerintah di pusat, kerajaan negeri masih mampu menjana hasil untuk dinikmati bersama selari dengan slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Pembatalan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang melibatkan 3000 hektar tanah sawah gred A telah memberikan sinar baru kepada pemilik tanah berkenaan apabila mendapat kembali hak milik mereka yang hampir dilenyapkan oleh pemerintah ketika itu.

Sebagai gantinya, kerajaan negeri telah mengumumkan projek baru yang dikenali sebagai Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIHH) yang tidak melibatkan air mata rakyat. Projek ini dijangkakan bakal memberikan pulangan RM400j setahun apabila beroperasi kelak.

Pengumuman penurunan cukai tanah bermula dari 25 hingga 75 peratus ketika situasi ekonomi dunia berada di tahap yang meruncing membuktikan keperihatinan kerajaan negeri terhadap permasalahan rakyat di negeri ini.

Peningkatan hasil hutan negeri dari RM8juta kepada RM35juta setahun dengan keluasan hutan yang sama dan peningkatan kutipan royalti hasil bumi sehingga RM19juta setahun menyerlahkan lagi ketelusan pentadbiran hasil maksum negeri yang dipraktikkan oleh kerajaan negeri untuk dinikmati bersama.

Buat pertama kalinya dividen berjumlah RM30juta hasil keuntungan sebelas syarikat kerajaan (GLC) dibayar kepada kerajaan negeri yang sebelum ini tidak pernah dikembalikan sejak ditadbir oleh mereka yang terdahulu. Ini membuktikan tidak berlaku ketirisan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini.

Dari segi ekonomi pula, Kedah berada ditempat kelima dalam carta kemasukan pelabur di negara ini dengan jumlah pelaburan bernilai RM837juta sekaligus menafikan cakap-cakap pihak lawan yang mempertikaikan keupayaan negeri-negeri di bawah pentadbiran PR.

Terbaru, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM4juta bermula Januari 2010 sebagai dana skim khifalah yang diberi kepada semua warga emas tanpa mengira kaum dan agama bagi meringankan bebanan keluarga menguruskan kematian mereka kelak.

Keupayaan PAS dan PR mentadbir negeri dengan lebih baik tidak boleh dinafikan dengan bukti-bukti yang dikemukakan. Tidak seharusnya rakyat di negara ini dan di negeri Kedah khususnya menolak PAS dan PR sebagai pemerintah ketika ini.

Kedah Sejahtera bukan sekadar laungan tetapi dibuktikan sepanjang 18 bulan memegang amanah mentadbir negeri. Tidak ada sebab untuk pengundi di Kota Siputeh menolak PAS sekiranya berlakunya PRK di kerusi itu dalam masa terhampir ini.Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...