Friday, November 6, 2009

Bahas Bajet 2010 : Peringatan Untuk Semua Pemikul Amanah (Bag 1)


Saya cuba memanfaatkan keberadaan saya di Parlimen Malaysia untuk sebaik mungkin menyampaikan pandangan Islam dalam semua permasalahan dan konflik yang berlaku di dalam dunia pada masakini.

Untuk pengetahuan semua, perbahasan bagi Titah Diraja dan Ucapan Bajet adalah perbahasan yang umum yang membolehkan semua ahli parlimen menyentuh semua bidang dan menyampaikan semua pandangan selagi tidak melanggar peraturan dewan. Pada saya, masa ini sesuai untuk kita berbahas menyentuh perkara dasar, polisi dan konseptual. Saya reserve persoalan dan masalah specicific untuk perbahasan peringkat jawatankuasa insyaAllah.

Mengambil iktibar dan pengalaman pimpinan PAS terdahulu, saya memulakan ucapan dengan memetik firman Allah SWT surah as-Soff ayat 2. “Wahai orang-orang yang beriman,kenapakah kamu memperkatakan satu benda yang kamu tidak lakukan. Sesungguhnya amatbesar kemurkaan di sisi Allah kamu memperkatakan suatu benda yang kamu tidak lakukan.”

Ayat ini memberi peringatan kepada semua orang yang beriman agar mengotakan janji dan cakap serupa bikin. Ia adalah peringatan untuk pemimpin dan rakyat yang beriman. Ayat ini juga ditujukan kepada saya sendiri dan seluruh pembaca yang budiman agar kita sentiasa beringat-ingat.

Bajet DS Najib bertemakan ‘1Malaysia Kemakmuran Bersama’ memberikan harapan besar kepada semua golongan. Dari sudut sisi pandang orang politik seperti saya, bajet ini retorik daripada beberapa sudut perlaksanaan. Bajet ini cuba menjustifikasikan slogan Perdana Menteri “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Saya sebagai seorang pemimpin rakyat dan seorang Islam amat prihatin sekiranya bajet ini hanya berlegar di kalangan manusia terpilih sahaja. Manakala manusia kerdil hanya didendangkan propaganda murahan. Malah kami wakil rakyat pembangkang tidak pernah didahulukan! Seolah-olah kami bukan wakil rakyat yang berada di Malaysia sekiranya diukur dengan slogan hebat DS Najib. Justeru itu ayat tadi memberi peringatan kepada semua agar melaksanakan semua janji agar tidak murkai oleh Allah. Apatah lagi sekiranya yang dimurkai itu ialah pemimpin, maka risaunya sekali dengan rakyat menjadi mangsa kemurkaan Allah. Kerana pemimpin itu dipilih oleh rakyat.

Kategori Pemimpin


Saya juga mengambil ruang untuk menyebut dua jenis pemimpin yang wujud. Pertama Pemimpin yang khianat amanah; menipu rakyat. Nabi SAW menyebut bahawa pemimpin yang menipu rakyatnya tidak akan mencium bau syurga. Kedua ialah pemimpin yang baik dan adil; mereka akan dinaungi oleh Allah pada hari yang hanya ada naungan Allah. Barang diingat, semua kita adalah pemimpin.

Struktur Kerajaan

Kerajaan sepertimana difahami dan disentuh oleh saya sebelum ini, terdiri daripada 3 unsur. Legislatif, Eksekutif dan Judiciari. Legislatif merangkumi kerajaan dan pembangkang. Tetapi di Malaysia pembangkang dipandang amat negatif. Saya bimbang pandangan negative seperti ini akan menggagalkan kita menjadi sebuah Negara maju atau melambatkan kemajuan. Lihatlah bagaimana peruntukan masih dinafikan. Pegawai kerajaan amat terbelenggu untuk berurusan dengan wakil rakyat pembangkang.

Bagi saya sebagai seorang pemimpin yang mewakili PAS, tanggungjawab saya sebagai seorang legislator, bukan sekadar bertanggungjawab kepada manusia sahaja bahkan juga bertanggungjawab langsung kepada Allah. Begitu juga kawan-kawan yang berada di cabang eksekutif atau pegawai kerajaan serta kawan-kawan yang berkhidmat di cabang judiciari atau kehakiman.

Tugas dan tanggungjawab


Saya memetik Allah berfirman dalam ayat 104 Surah Ali ‘Imran “Hendaklah wujud di kalangan kamu, satu ummat yang mengajak kepada kebaikan dan menyuruh melakukan ma’ruf dan melarang kemungkaran”.

Ada ulamak mengatakan legislator adalah bertanggungjawab membuat polisi dan dasar yang baik, terkandung di dalam makna “mengajak kepada kebaikan”. Bahagian yang kedua “menyuruh melakukan ma’ruf” merujuk kepada pegawai kerajaan atau eksekutif yang melaksanakan dasar yang diputuskan oleh cabang legislatif. Bidang kehakiman terkandung di dalam “melarang kemungkaran” iatu mereka yang menjalankan hukuman sebagai mekanisma cegahan.

Saya mengambil kesempatan menyatakan kerisauan dan kebimbangan saya di dalam ucapan itu tentang kepincangan dan fitnah yang sedang melanda ketiga-tiga cabang yang mendokong system Negara kita. Kepemimpinan ketiga-tiga cabang tadi dipersoalkan kredibiliti oleh massa awam lalu ia akan membawa persepsi buruk di mata pelabur dan antarabangsa.Share
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...