Monday, December 19, 2011

Ceramah Isu-Isu Negara


Isnin, 19 Disember. Satu ceramah berkaitan isu terkini telah diadakan di Markas Pas Kampung Bukit Nambua. Ceramah yang menampilkan 2 orang tokoh yang hebat dalam arena politik iaitu  Ahli parlimen Padang Terap, Yb Ust Nasir Zakaria dan Yb Ust Taib Azamuddin, Ahli parlimen Baling telah dihadiri oleh lebih seribu orang. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Timbalan Ydp Padang Terap, tuan Syed Ibrahim Al-Jefri. Dalam ucapan beliau, Tuan Syed Ibrahim mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli yang terlibat dalam menjayakan ceramah ini. Beliau turut menceritakan keadaan politik yang telah menyemarakkan suasana demokrasi di Malaysia.

Ceramah  yang disampaikan oleh Yb Ust Nasir pula menyentuh isu-isu nasional yang pincang dan tidak adil kepada seluruh rakyat jelata. Beliau juga menjelaskan tentang isu skandal NFC yang dikaitkan oleh Ketua Wanita Umno, Dato Seri Shahrizat Jalil. Dalam isu Bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baharu-bahau ini. Isu ini yang amat tidak adil kepada seluruh rakyat malaysia kerana hanya kakitangan kerajaan sahaja yang mendapat imbuhan sedangkan orang awam yang bekerja sendiri diabaikan. Beliau juga menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh Umno adalah satu tindakan yang terdesak dan tergesa-gesa.

Dalam ceramah yang disampaikan oleh Yb Ust Taib Azamuddin pula menyebut tentang penghijrahan yang dilakukan oleh umat islam pada zaman sekarang ialah dengan berhijrah daripada tidak baik kepada baik. Beliau juga menyebut hakikat yang dilakukan oleh masyarakat dunia yang seringkali menyatakan Amerika adalah negara yang paling berkuasa. Selain itu, beliau turut menyelar sikap manusia yang tidak mementingkan soal halal dan haram adalah jauh daripada Allah. Ucapan beliau yang penuh dengan kiasan dan sangat membawa maksud yang mendalam. Dalam ucapan ceramahnya lagi, beliau berkata, pemberian wang 

tunai yang akan diberi oleh kerajaan hanyalah umpan untuk mencari rakyat yang berpendapatan besar untuk diambil cukai pendapatan. Beliau mengibaratkan "memberi ayam makan beras untuk ditangkap dan disembelih". Sedangkan RM 250 juta diberikan kepada pemimpin Wanita Umno tidak disiasat oleh pihak berkuasa. Dalam ceramah tersebut, beliau turut menerangkan tentang hukum yang ditetapkan oleh Allah  yang menjadi perdebatan pelbagai pihak. Katanya lagi, "Kafir Zimmi yang tinggal di negara yang diperintah oleh islam layak diberikan hak seperti orang islam selagi ia tidak melanggar arahan pemerintah. Tetapi penerangan seperti ini Umno tidak menceritakan kepada orang bukan islam sedangkan kewajipan islam adalah  melaksanakan keadilan terhadap semua agama dan bangsa,"katanya lagi.




Share

Rakyat Padang Terap disajikan dengan Forum Perdana sempena Maal Hijrah

Baharu-baharu ini rakyat Padang Terap telah disajikan dengan majlis ilmu iaitu forum perdana yang diadakan di Masjid Padang Setol, Pedu. Majlis ilmu ini dianjurkan dengan kerjasama oleh Pejabat Agama Padang Terap, PKWR Adun Angkat Pedu, serta NGO Terapcare. Ia dianjurkan  bersempena dengan sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.
Majlis ini menampilkan beberapa tokoh agama iaitu Sheikh Abdullah bin Awang Sa, Penolong Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Sheikh Faisol bin Hj Omar, Kadhi Daerah Kubang Pasu, dan Ust Mohd Isa Abd Rahman, pegawai Jabatan Mufti Kedah.
  
Majlis yang bermula pada sebelah pagi turut memasak 10 kawah bubur asyura yang disediakan oleh NGO Terapcare dan penduduk qariah tersebut. Majlis yang pada sebelah malamnya dimulakan dengan persembahan marhaban oleh sebuah kumpulan yang ditubuhkan oleh anak qariah Padang Setol.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Yb Ust Nasir Zakaria. Dalam ucapannya, beliau menyebut tentang keadaan zaman sekarang amat berbeza dengan zaman Nabi Muhammad S.A.W. Beliau mengajak semua kaum muslimin dan muslimat agar sentiasa mentaati Allah dalam apajua  keadaan sekalipun. Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh organisasi yang terlibat dalam menjayakan forum tersebut.
d 
Dalam majlis forum ini, kehadiran amat ramai dan tidak sangat membanggakan. Dengan sokongan daripada seluruh penduduk masyarakat, ia akan menjadi satu amalan agar setiap ketika segala amalan kita dengan Allah semakin dekat. 






Share

CERAMAH ISU TERKINI DI FELDA BUKIT TEMBAGA

Baharu-baharu ini ceramah Perdana Isu-Isu Semasa telah diadakan di Felda Bukit Tembaga, Kuala Nerang. Ceramah yang disampaikan oleh dua orang tokoh politik iaitu Yb Ust Nasir bin Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap dan Exco Negeri Kedah, Yb Dr. Ismail bin Salleh.

Dalam ceramah yang disampaikan oleh Yb Ust Nasir, beliau menyebut tentang kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional yang terang-terang menipu dan merampas hak rakyat.
Beliau juga menyentuh tentang bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang terang-terangan tidak menyebelahi rakyat dan hanya membela golongan kakitangan kerajaan sahaja sedangkan lebih 90% rakyat di negara ini adalah bekerja sendiri. Beliau juga turut menasihatkan rakyat agar menilai kepincangan yang dilakukan oleh Umno BN seperti dalam isu mempermainkan hudud,penyalahgunaan kuasa, National Feedlot Centre (NFC) dan pelbagai isu yang menyebabkan Umno BN menjadi kucar-kacir. Keaiban yang timbul itu menyebabkan Umno BN semakin dibenci oleh rakyat yang mahukan perubahan.

Seterusnya ceramah yang disampaikan oleh jemputan khas, Yb. Dr Ismail Salleh, Exco Kerajaan Negeri Kedah yang memberikan ceramah beliau dengan penuh bersemangat demi menyampaikan maklumat kepada rakyat Padang Terap khususnya penduduk di Felda Bukit Tembaga. Dalam ceramahnya, beliau menyebut perancangan untuk memburukkan Pakatan Rakyat dan negeri yang diperintah pembangkang dilakukan dengan nekad untuk meraih sokongan rakyat kerana pihak Umno BN tahu sokongan rakyat terhadap mereka sudah susut. Beliau juga menceritakan pengalaman beliau menjadi ahli panel semasa program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen baharu-baharu ini yang jelas menunjukkan tohmahan yang dilemparkan oleh Umno BN secara terancang dan diatur. Yb Dr Ismail juga menyeru seluruh rakyat di Padang Terap tidak memberikan sokongan kepada Umno BN kerana ia akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan sekiranya Umno BN masih menguasai pentadbiran.

Share

Wednesday, December 14, 2011

Hudud?Ini sedikit Penerangan ringkas tentangnya.






Sebuah filem pendek yang menerangkan hudud secara umum. Filem pendek ini diterbitkan bertujuan untuk menjawab persoalan dan kekeliruan yang ditimbulkan dalam klip video 'Sembang Rakyat' yang bertajuk 'Musim hudud' dan 'Hudud PAS lagi'.Semoga klip video ini dapat memberi manfaat kepada para penonton.Kami sangat mengalukan perkongsian(share) video ini kepada masyarakat.Share

Insyaallah PAS Akan Kekalkan Kesejahteraan Di Padang Terap

Walaupun Padang Terap merupakan kawasan tradisi BN menang , namun rekod Pru menunjukkan Padang Terap kini peringkat parlimen di menangi oleh calon PAS YB Ustaz Nasir Zakaria , dan pada pru yang lalu, Calon PAS pernah memenangi kerusi Dun Pedu & Kuala Nerang dan Parlimen ..
Tekad kami agar Picang Diranap ,Kedah kekal Sejahtera , Padang Terap Sentosa !

Share

Monday, December 12, 2011

Deklarasi aset: Pemuda PAS syor contohi P Pinang


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meningkatkan integriti bagi menjamin pentadbiran yang bersih terhadap negeri tersebut.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, antara langkah tersebut adalah setiap Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikehendaki membuat deklarasi aset mereka yang akan dipaparkan melalui internet.
Katanya, DPP Malaysia menganggap deklarasi aset exco sebagai langkah baik dan penting bagi membuktikan bahawa setiap exco kerajaan negeri bekerja dengan penuh amanah, tanggungjawab, telus serta menunjukkan bahawa mereka bekerja untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan diri mereka sendiri.
Beliau berkata, apa yang berlaku di negara ini adalah, ramai dari kalangan pemimpin negara atau pemimpin kerajaan negeri gagal mengisytiharkan aset mereka.
“Ini mungkin disebabkan pemimpin ini bimbang kerana mereka mempunyai banyak kepentingan terhadap harta yang boleh dipersoalkan rakyat dan jika diisytiharkan harta mereka mungkin bernilai jutaan ataupun billion ringgit yang jauh daripada kemampuan sebenar mereka,” katanya kepada Harakahdaily.
Bagi DPP Malaysia, ujarnya pemimpin seperti itu bersikap tidak jujur kepada rakyat kerana mengambil kesempatan daripada kuasa dan pengaruh yang mereka miliki untuk mengaut sebanyak mana harta sama ada melalui perniagaan mahupun melalui rasuah.
Baginya, agak mengejutkan kerana ada ada pemimpin negara atau pemimpin kerajaan negeri yang mempunyai aset bernilai berbilion ringgit, hasil dari pemerintahan selama bertahun-tahun lamanya.
Persoalan yang timbul, ujarnya bagaimana mereka mendapat harta yang begitu banyak jumlahnya yang jauh daripada pendapatan mereka.
Katanya, sudah tentu perkara sebegitu akan menimbulkan persoalan di kalangan rakyat, adakah pemimpin itu bekerja untuk rakyat atau hanya untuk diri mereka sendiri.
Katanya, kesan daripada itu akan menyebabkan berlakunya pelbagai ketirisan dalam pentadbiran.
Beliau menambah, Laporan Ketua Auditi Negara 2010 menyaksikan berlakunya pelbagai masalah yang berpunca dari  kecuaian dan ketirisan dalam pentadbiran di pelbagai agensi kerajaan.
Selain itu, kata beliau rakyat pula merasa kecewa kerana hasil kekayaan negara ini tidak dapat dikongsikan bersama.
Malah, katanya lagi masih ramai rakyat yang menderita kemiskinan serta terhimpit oleh kenaikan harga barang yang semakin meningkat di negeri yang kaya dengan hasil petroleum.
Oleh itu, ujarnya DPP Malaysia menyarankan kerajaan negeri-negeri lain agar mengambil kerajaan Pulau Pinang sebagai contoh terbaik dengan setiap pemimpin kerajaan mengisytiharkan asset mereka bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran dapat dijaga bahkan boleh dipertingkatkan.
“Tidak hairanlah jika kerajaan Pulau Pinang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan yang tertinggi di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010 dengan jumlah pelaburan RM12.24 bilion,” katanya.
Menurutnya, dengan hanya memerintah negeri selama tiga setengah tahun kerajaan negeri Pulau Pinang berupaya bangkit sebagai negeri terbaik dari sudut pentadbiran mengalahkan negeri yang diperintah Barisan Nasional yang telah memerintah selama berpuluh tahun lamanya.
Share

Tragedi NFC: Muhyiddin tak layak jadi PM

Harakahdaily.

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian yang menganugerahkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Seri Shahrizat Jalil adalah lebih bersalah daripada segi pentadbiran kerajaan dan etika kebertanggungjawaban seorang menteri.
“Ya, keluarga Shahrizat menerima dan tidak mengendalikan projek tersebut dengan baik, bahkan terdapat unsur-unsur penyalahgunaan dana wang rakyat, akan tetapi siapa yang meluluskan projek sebesar RM250 juta kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak layak mengendalikannya sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata adalah tidak adil untuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersifat pilih kasih dalam menyerang Shahrizat, dengan menyuruhnya ‘untuk berundur sebelum beliau diundurkan’ tapi tidak pada Muhyiddin.
“Dr Mahathir tidak sepatutnya pilih kasih dalam menegur Shahrizat dan tidak kepada Muhyiddin yang meluluskan projek ini. Sekiranya sikap Muhyiddin ini dibiarkan berterusan semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan seterusnya perdana menteri, berapakah lagi wang rakyat yang bakal terkorban?” soal Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang tidak lagi insaf dengan kesilapannya apabila menyatakan bahawa ‘NFC hanyalah isu politik yang dicetuskan Pakatan Rakyat’ dan terus mempertahankan projek tersebut walaupun kewujudan penyalahgunaan dana awam yang susah dipertikaikan.
“Bayangkan sekarang, Muhyiddin ialah bakal perdana menteri sekiranya apa-apa terjadi pada Datuk Seri Najib Razak, berapakah banyak projek di bawah kelolaan kementerian dan kuasa beliau yang akan berakhir seperti tragedi NFC. Bolehkah rakyat Malaysia menerima seorang bakal PM yang sedemikian?” soal beliau.
Selaku mentor Umno, Tuan Ibrahim berkata Dr Mahathir sepatutnya membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak berani menegur timbalannya, untuk menegur Muhyiddin atas dasar membantu Najib membetulkan pentadbirannya.
Apa yang pelik, kata beliau ialah bila mana hanya Shahrizat sahaja yang diminta berundur, sedangkan Muhyiddin tidak diarahkan berbuat demikian.
“Begitu juga dengan beberapa orang yang lantang mempertahankan penyelewengan ini, juga sepatutnya merasa malu kerana ia nyata bertentangan dengan norma biasa.
“Sekiranya Shahrizat disuruh berundur, Muhyiddin pun harus menerima nasib yang sama. Jika Shahrizat saja berundur, tapi tidak Muhyiddin dan lain-lain, percayalah rakyat akan terus mencengkam isu NFC sehingga semua yang terlibat berundur,” tambah beliau.
Share

Saturday, December 10, 2011

Penghinaan Hudud-Umat Islam Sendiri Menghina Hudud



1. Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Kamal Saidin Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu dan Chua Soi Lek Presiden MCA yang mempersenda hukum Allah swt dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru - baru ini sedang beliau tiada authoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama' Muda UMNO sebagai salah seorang panel.

2. Belum pun reda rasa sugul diatas penghinaan terhadap hukum Allah swt dan perlecehan terhadap disiplin ilmu ketika membincangkan persoalan ini, kini tercetus pula penghinaan yang lebih strategik dan terancang dengan terhasilnya filem pendek di bawah tajuk Lagi Hudud PAS yang kini disiar menerusi laman youtube.

3. Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah swt sedang berdepan dengan satu tanggungjawab yang sangat berat. Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah swt dan kembali kepangkalan jalan [bahkan pelakon non muslim juga selayaknya tidak menghina agama Islam dan mereka mesti memohon maaf ] lalu menjadikan bakat mengarah dan berlakon filem itu ke arah pembikinan filem pendek yang mendidik rakyat agar lahir sebuah generasi yang soleh serta menghormati nilai agama dan ilmu.

4. DPPM juga mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut. Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai. Lihat sahaja [ statistik sehingga artikel ini ditulis ] jumlah like [ 91 orang ] berbanding jumlah dislike [ 4,299 orang ] sementara jumlah penontonnya [ 10, 123 orang ].

5. Kami kesal apabila kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah swt. sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah swt di atas muka bumi ini. Masih terlalu banyak ruang kebaikan untuk mereka menghasilkan karya bermutu dengan bakat seni yang mereka miliki.

6. Saya doakan agar mereka insaf dan mengalu - alukan bakat seni yang mereka miliki untuk disalurkan kepada pelbagai bentuk karya yang mampu menaikkan nama Islam. 

p/s : Sebagai langkah awal : Hari ini dan Esok, semua Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri akan membuat report polis terhadap video yang memperlekeh hukum Allah justeru ia menghiris dan menyinggung perasaan ummat Islam dan mencabar kemuliaan ajaran Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS MalaysiaShare

Bongkar ! Terbukti UMNO Taja Penghinaan Islam Melalui Video Klip Sembang Rakyat ??

Oleh : Admin Fb Pemuda Padang Terap




Islam di negara kita terus menerima ancaman dan hinaan dibawah pemerintahan BN tanpa kawalan sepatutnya.Terbaru kita dikejutkan dengan video menghina hukum Allah melalui video yang dimuat naik dalam You Tube oleh pemilik akaun bergelar kawasaki9722 yang berjudul " Lagu Hudud Pas".Dalam video tersebut jelas ada sindiran mempermainkan dan menghina hukum Allah melalui dialog : ""Buat hudud pun tak jadi apa" lalu disambung seorang lagi dengan berkata "makin teruk ada la""

Persoalannya yang besar disini ialah : Siapa disebalik tabir pembikinan video yang dilihat menelan kos yang tinggi itu berdasarkan kualiti video yang tinggi itu? 

Mari Kita tonton pendedahan ini agar kita dapat berfikir adakah PAS sendiri mendalangi video tersebut?Dap? Pkr?atau....anda saksikan sendiri pendedahan ini :

Laman web http://www.sembangrakyat.org yang mengeluarkan video menghina Islam itu dikendalikan oleh admin yang bernama "matamata" menggunakan email ajaff8@gmail.com yang banyak mengendalikan laman-laman web Umno di Selangor:Saksikan pembongkaran ini : 









PERSOALAN BESARNYA SEKARANG IALAH : MANA PIHAK BERKUASA AGAMA? MANA MUFTI? MANA SKMM? MANA JAMIL KHIR?MANA PERKASA?BERANIKAH MEREKA MENYIASAT DAN MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP KES INI?

KLIK DISINI UNTUK MEMBACA KENYATAAN DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA ISU VIDEO INI : 

Dewan Pemuda Pas Malaysia Kesal Hudud Diperlekeh


Hukum Hina,Sindir atau Mempertikaikan Hukum Hudud :




Share

Friday, December 9, 2011

Dewan Pemuda Pas Malaysia Kesal Hudud Diperlekeh

Ambil tindakan ‘buat hudud pun tak jadi apa’ - Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pihak berkuasa agama di negara ini digesa segera bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab menerbit dan menyiarkan sebuah drama pendek di Youtube yang secara terang-terangan menghina hukum Allah.

Drama pendek bertajuk 'Lagi Hudud PAS' itu didakwa telah menghina hukum hudud dengan cuba memberi gambaran hudud bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah menjadikan masalah lebih teruk.

"DPPM (Dewan Pemuda PAS Malaysia) mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut.

"Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai," kata ketua dewan itu Nasruddin Hassan kepada Harakahdaily.

Mengikut maklumat yang direkodkan, drama dengan tajuk 'Lagi Hudud PAS' itu yang berdurasi 5 minit 34 saat dimuat naik sejak 21 November lalu oleh pemilik akaun bernama kawasaki9722.

Sehingga berita ini ditulis, drama itu telah ditonton oleh 10,123 pengguna dengan catatan 94 dari mereka menekan like dan 4,395 dislike.

Menggunakan lima pelakon Islam dan tiga bukan Islam, dialog drama ini antara lain menyentuh isu HIV tertinggi di Kelantan sambil memperlekeh hudud yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Malah mereka juga mendakwa ibu tunggal di Kelantan paling ramai dan rakyat negeri itu juga paling ramai bekerja di tempat-tempat maksiat.

Dalam dialog itu juga turut menyebut "Buat hudud pun tak jadi apa" lalu disambung seorang lagi dengan berkata "makin teruk ada la".

Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Saidin dan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang mempersenda hukum Allah SWT dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru-baru ini sedang beliau tiada autoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno sebagai salah seorang panel.

Belum pun reda dengan isu itu, umat Islam sekali lagi dicabar dengan penghinaan hukum Allah melalui drama pendek tersebut.

Apa yang dikesalkan kata Nasruddin, kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah SWT sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah SWT di atas muka bumi ini.

"Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah SWT sedang berdepan dengan satu tanggungjawab yang sangat berat.

"Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkalan jalan," katanya.
Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...