Tuesday, April 30, 2013

Fitnah: Samransak timbang saman facebooker Umno

Harakahdaily,28 Apr 2013

(Gambar: Samransak ditemani Ketua Pemuda PAS Padang Terap Nasir Zakaria dan penyokong ketika membuat laporan polis semalam)

KUALA LUMPUR: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Samransak Kram semalam telah membuat laporan polis terhadap seorang facebooker Umno, yang didakwa telah mengeluarkan satu kenyataan memfitnah beliau.

Laporan itu dibuat terhadap pemilik akuan ‘Aktivis Umno Pekan Naka II’ yang mendakwa Samransak dibayar Parti Keadilan Rakyat sebanyak  RM50 ribu untuk menarik diri sebagai calon KITA dari bertanding pada hari penamaan calon lalu.

Samransak yang juga Duta Dewan Himpunan Penyokong Pas Padang Terap berkata, tuduhan tersebut adalah satu fitnah yang berniat jaht serta cuba menjatuhkan nama baiknya.

"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya sebarang tuduhan jahat “Aktivis Umno Pekan Naka II” terhadap diri saya, PAS dan Pakatan Rakyat Parlimen Padang Terap dan menyatakan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah dan hasutan menjatuhkan maruah dan nama baik saya, PAS dan Pakatan Rakyat Parlimen Padang Terap.

"Saya dengan ini memberi masa 48 jam kepada ‘Aktivis Umno Pekan Naka II’ memohon maaf dan menarik balik semua tuduhan tersebut, sekiranya beliau gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diteruskan terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kenyataan tersebut disiarkan facebooker Umno itu pada 24 April lalu di laman facebook miliknya.

Katanya, tuduhan itu juga sengaja untuk merosakkan reputasinya sebagai bekas pemain bolasepak negeri dan kebangsaan yang mempunyai reputasi baik.

Facebooker itu katanya telah membuat tohmahan tanpa asas, bukti kukuh dan menghasut pembaca kepada akaun tersebut dan pengundi di kawasan parlimen ini mempunyai persepsi buruk, negatif dan prasangka jahat terhadap dirinya.

“Aktivis Umno Pekan Naka II berniat jahat membuat tuduhan Pakatan Rakyat parti rasuah dan menghasut pembaca akaun tersebut, pengundi di kawasan ini bersangka buruk terhadap Pakatan Rakyat," tegasnya.
Share

Sunday, April 28, 2013

Mohd Nasir ada kelebihan pertahan Padang Terap



Mohd Nasir menyampaikan khutbah di sebuah masjid dalam kawasan Parlimen Padang Terap.


PADANG TERAP: Kawasan Parlimen Padang Terap mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu N.07 Kuala Nerang dan N.08 Pedu.

Pada Pilihan raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, calon PAS yang bertanding di P.007 itu, Ustaz Mohd Nasir Zakaria yang mendapat 15,003 undi menewaskan calon BN, Datuk Ghazali Ibrahim dengan majoriti 369 undi.

Kemenangan itu boleh dianggap sebagai suatu ‘keajaiban’ kepada beliau kerana kedua-dua Dun berkenaan dimenangi oleh calon BN. Syed Sobri Syed Hashim yang mendapat 7,856 undi memenangi Dun Kuala Nerang dengan majoriti 805 undi, sementara Dun Pedu dimenangi oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan majoriti 2,733 undi.

Jika diukur daripada keputusan PRU12 itu, Mohd Nasir mempunyai kelebihan pada pilihan raya umum kali ini yang diamanahkan oleh PAS untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.

Anak kepada penebang tebu sementara ibunya adalah penoreh getah amat memahami suasana kehidupan masyarakat di Padang Terap terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Beliau yang mempunyai hubungan erat dengan anak-anak muda di kawasan Parlimen Padang Terap tidak bermasalah untuk melibatkan diri secara langsung dengan aktiviti mereka.

Bahkan, penglibatan beliau dengan enam badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan golongan belia dan beliawanis memberi kelebihan kepada Mohd Nasir untuk mendapat sokongan pada PRU13 ini.

Dengan kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), memudahkan beliau bergiat dalam persatuan dan pertubuhan yang membabitkan golongan korporat.

Tambahan pula, beliau yang pernah menjadi pensyarah kontrak Kolej Kewangan dan Perbankan Islam, Bank Islam dapat menggunakan pengalaman itu untuk dikongsi dengan mereka.

Hubungan baik dengan golongan berkenaan dan penglibatan beliau dalam program anjuran mereka menambahkan lagi kekuatan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap.

Mohd Nasir yang berkelulusan Sarjana Muda Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya langsung tidak mempunyai masalah untuk menjayakan program keagamaan yang melibatkan masyarakat Islam.

Beliau banyak menyampaikan kuliah, berkhutbah, menguruskan jenazah dan lain-lain yang sekaligus dapat merapatkan hubungan dengan masyarakat Islam dalam kawasan Parlimen Padang Terap.

Selain itu, beliau sering turun padang dan menziarahi rakyat yang ditimpa musibah menjadikan hubungannya dengan masyarakat tempatan bertambah erat.

Biarpun pada PRU13 ini berdepan dengan calon BN, Mahdzir Khalid dan Muhammad Bazli Abdullah (Bebas), namun Mohd Nasir tetap menaruh harapan yang tinggi mempertahankan kemenangan yang sekaligus menyumbang kerusi kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Dengan jumlah pengundi seramai 42,045 orang yang melibatkan Melayu (92.68%), Cina (1.4%), India (0.2%) dan lain-lain (5.72%), beliau selaku anak tempatan dilihat mempunyai kelebihan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat selaku Ahli Parlimen Padang Terap yang bakal direalisasikan oleh para pengundi pada 5 Mac nanti.

Credit to Harakahdaily

Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...