Monday, October 31, 2011

Isu tanah di Padang Terap: ‘Jika tiada pertindihan, geran tanah akan dipertimbang segera

Isu tanah di Padang Terap: ‘Jika tiada pertindihan, geran tanah akan dipertimbang segera’

ALOR SETAR - Semua permohonan tanah oleh peneroka di kawasan Kuala Nerang akan diproses mengikut prosedur ditetapkan sekiranya tidak timbul masalah pertindihan hak milik tanah atau kawasan hutan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi berkata, pihaknya telah berbincang dengan Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir Tanah Kuala Nerang untuk meneliti setiap permohonan yang layak, 19 Oktober 2011.

“Kita sedang teliti semula permohonan sama ada dalam proses atau belum diambil tindakan,” katanya.

Setelah disemak, ujarnya, terdapat segelintir permohonan tidak jelas dan perlukan penelitian serta maklumat tambahan daripada pemohon.

Menurutnya, mana-mana permohonan yang lengkap dan layak akan dipertimbangkan untuk diluluskan.

“Jawatankuasa Tanah di peringkat daerah yang ditubuhkan pada tahun 2010 akan cadangkan kepada Kerajaan Negeri keluasan tanah yang akan diberikan kepada peneroka, selepas semua permohonan diteliti. Yang mana tiada masalah akan diproses segera untuk pertimbangan,” katanya.

Phahrolrazi memberitahu, antara permohonan yang tertangguh adalah disebabkan berlakunya pertindihan hak milik tanah yang dimohon dengan tanah yang diusahakan oleh sebuah syarikat ladang di kawasan itu.

“Terdapat kes berlaku pertindihan dan saya harap wakil penduduk dapat berbincang dengan saya secara terperinci pertengahan November 2011, selepas saya pulang menunaikan ibadah Haji,” jelasnya.

Mengulas mengenai permohonan peneroka di kawasan itu, Phahrolrazi berkata, berlaku sedikit kelewatan sebelum ini berikutan jumlah permohonan yang banyak selain membabitkan tiga kawasan utama iaitu Kah Eng, Sebapin dan Bukit Damar.

“Permohonan di Bukit Damar tiada masalah, Cuma di Kah Eng ianya membabitkan kawasan hutan dan kita perlu membuat semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri kerana tidak boleh meneroka kawasan hutan sesuka hati,” ujarnya.

Manakala permohonan di Sebapin, katanya, berlaku sedikit pertindihan kawasan membabitkan tanah ladang dan perlu dibuat lebih penelitian.

“Jika ianya tanah milik kerajaan, kita boleh pertimbangkan untuk kelulusan. Kita akan pastikan pemohon tempatan yang belum memiliki tanah dan memerlukan diberi keutamaan,” katanya.

Pada 30 September 2011, seramai 80 penduduk di kawasan Sebapin, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang yang menjadi peneroka sejak 1983, mendakwa Kerajaan Negeri gagal memenuhi janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008, iaitu untuk membantu menyelesaikan isu membabitkan 80 hektar tanah di kawasan terbabit.

Share

Saturday, October 29, 2011

Pemberian Jersi Kepada Anak Muda




Geng muda memang hebat.
Baharu-baharu ini, Yb Ust. Nasir meluangkan masa turun ke Kampung Pong manis baru-baru ini untuk bertemu dengan para penduduk. Disamping bersembang santai, beliau menyampaikan sedikit sumbangan berupa jersi bola kepada anak muda di kampung tersebut. Beliau mengharapkan anak muda terus bergiat aktif didalam sukan kerana ia adalah suatu aktiviti yang sihat. Seorang penduduk kampung, Abdul Rahim yang juga Ketua Pas Cawangan melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada Yb Ust. Nasir kerana walaupun sibuk, tetapi beliau sentiasa meluangkan masa turun ke kampung-kampung untuk bertemu rakyat. Beliau juga sedia melapangkan masa mendengar segala luahan hati rakyat Padang Terap. Selesai pemberian jersi, Yb Ust. Nasir sempat singgah di rumah seorang penduduk yang sakit akibat dipatuk ular semasa menoreh getah. Turut serta hadir bersama beliau ialah Pengarah MTD Pedu, En. Shukri Abdullah.
Share

Thursday, October 27, 2011

Laporan Ketua Audit Negara 2010: TAHNIAH KERAJAAN NEGERI KEDAH


Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010. Walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia 'setahun jagung' iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang.

Berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan; pengalaman pentadbiran, kewangan, penyaluran peruntukan kerajaan pusat yang tidak melalui negeri, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak terus melangkah gagah. DPPNK mempunyai alasan kukuh untuk terus mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

PERTAMA: Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9 peratus atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau RM 0.6 peratus. Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding 2009 sebanyak RM368.27 juta. Pencapaian ini adalah yang terbaik di dalam masa 5 tahun!!

KEDUA : Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta!! Peningkatan ini sangat ketara dan sangat membanggakan. Ia adalah defisit tertinggi dalam masa 5 tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut. Berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8 peratus!!

KETIGA: Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009. Pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri. Tahniah kepada para pegawai.

KEEMPAT: Laporan ini telah memperakui peningkatan penerimaan hasil Cukai Tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9 peratus. Kerajaan negeri telah berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding 2009 hanya RM85.37 juta. Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75 peratus di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan di dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut. Kutipan ini adalah yang kedua tertinggi di dalam tempoh 5 tahun!!

KELIMA: Peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah. Hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta. Kutipan ini adalah tertinggi dalam masa 5 tahun!!

KEENAM: Sekali lagi premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Peningkatan sejumlah 46.9 peratus atau RM15.49 juta. Berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta!! Jumlah ini adalah yang tertinggi dalam masa 5 tahun!! Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400 peratus !!!

KETUJUH: Kerajaan juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa 5 tahun terakhir!! Berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM 26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus!!

DPPNK berpandangan bahawa dengan laporan ini, Ketua Audit Negara terus memperakui keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat. Ini membuktikan secara fakta bahawa segala tohmahan bahkan keraguan yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan adalah tidak berasas. DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendokong pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat.

YB Mohd Nasir Zakaria
Ahli Parlimen Padang Terap
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.
Share

Friday, October 21, 2011

Kenyataan Rasmi Dewan Pemuda PAS Kedah Isu Professor Aziz Bari


Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) memandang serius isu terbaru yang melibatkan penggantungan Professor Undang-undang terkemuka dan kritis negara Professor Aziz Bari. Isu ini adalah satu lagi titik hitam sejarah negara. Ia hanya akan menghitamkan lagi rekod Barisan Nasional memerintah negara kita. Penggantungan beliau selaku pensyarah sangat mengejutkan dan menyedihkan warga Malaysia.

Pertama. Beliau adalah pensyarah kanan Universiti Islam Malaysia yang sudah berkhidmat selama 22 tahun. Beliau adalah antara putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan. Adakah hanya kerana memberi pandangan berdasarkan pengalaman akademik dan pengalaman beliau dan beberapa laporan polis sudah cukup untuk menamatkan riwayat akademik beliau.

Kedua. Beliau terkenal berani dan kontroversi. Beliau bukan sekadar berkongsi ilmu di media perdana, wacana, kelas toturial malah menjangkau kepada media alternatif yang mesra pembangkang. Beliau sekadar mengkritik kerajaan tetapi pernah mengkritik kepimpinan pembangkang. Beliau berani dan tegas terhadap pandangan beliau walaupun berdepan cemuhan.

Ketiga. Alasan yang diberikan oleh Universiti Islam Antarabangsa ialah kerana "membuat kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti". Ia adalah satu alasan yang sangat subjektif bagi sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa. Masyarakat tertanya-tanya, bertentangan dengan kepentingan universiti itu juga bermaksud bertentangan dengan kepentingan pemerintah lanjutan laporan polis yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

Keempat. Penggantungan ini akan menjatuhkan lagi imej universiti Malaysia di mata dan ranking universiti di dunia. Sudahlah para mahasiswa dan pensyarah terpaksa berdepan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kali ini pensyarah pula berdepan dengan pelbagai akta dan halangan 'kepentingan' universiti.

Kelima. Selepas peristiwa ini, DPPNK dapat merasakan pendemokrasian ilmu akan semakin terhakis dan akan menyebabkan kebebasan bersuara akan semakin kelam. Imej universiti sebagai menara ilmu dan harapan ummat sebagai lubuk kebijaksaaan akan semakin dipandang sinis. Autoriti seorang sarjana akan semakin diperlekehkan. Alangkah malangnya negara ini.

Keenam. Apa yang kebih besar ialah kesan terhadap para mahasiswa yang sedang menyiapkan tesis serta mengikuti kelas yang dipimpin oleh beliau.

Ketujuh. Apapun alasannya termasuk alasan beliau menghina raja, DPPNK mengharapkan agar penggantungan beliau sebagai sarjana dan pensyarah ditarik balik terlebih dahulu. Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis yang menyiasat beliau susulan isu ini juga akan menjadikan ahli akademik semakin terkongkong dalam menyampaikan ilmu dan menegakkan kebenaran.

YB MOHD NASIR ZAKARIA
AHLI PARLIMEN PADANG TERAP
KETUA PENERANGAN DPPNK
Share

Wednesday, October 19, 2011

Beratnya kepimpinan di dalam Islam


‎"Kepimpinan dalam Islam adalah sebuah amanah yang besar..mudah nak ajak manusia menyukai sesuatu dengan kebendaaan..tapi mengajak manusia mengabadikan kehidupan kepada Allah adalah suatu perjuangan yang penuh ranjau dan duri..perlukakan kejujuran diri..Mengajak manusia banggakan kejayaan duniwai semudah bicara andai dikotakan janji,tapi nak menghampirkan manusia kepada hidup kekal abadi akhirat nanti menghamparkan diri kepada perjuangan yang badai menanti,menguji diri,neraca Allah dijalani,dosa pahala menghisab diri"Share

Tuesday, October 18, 2011

MAJLIS PELANCARAN JENTERA PRU-13 PAS PADANG TERAP












SEJAHTERA DI KEKAL ..PINCANG DIRANAP..Misi mengekalkan kemenangan Parlimen Padang Terap, Menawan Dun Kuala Nerang Dan Dun Pedu, PAS Padang Terap melangkah terus kehadapan membawa obor Perjuangan Islam
Share

Sunday, October 16, 2011

Isu Tanah Di Padang Sanai: PAS terpaksa tanggung kerakusan Umno


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Okt: PAS Kedah bersikap terbuka terhadap segala kritikan dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat, namun tidak adil apabila segala beban yang ditinggalkan Kerajaan BN terdahulu terpaksa ditanggung mereka.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata demikian merujuk kepada kes tanah penduduk di Padang Sanai, yang diterokai sejak 70-an diceroboh oleh syarikat perladangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha membantu penduduk walaupun sebenarnya ia berpunca daripada kerakusan BN suatu masa dahulu.

Namun katanya, Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrul Hisham Hashim secara tiba-tiba menuduh Kerajaan Negeri termasuk beliau tidak menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah penduduk sehingga mengetuai sekumpulan penduduk mengadakan demonstrasi akhir September lalu.

"Apa yang cuba diperjuangkan oleh Pemuda Umno Kedah itu ibarat "dia yang kentut, tetapi tuduh orang lain kerana ingin menyembunyikan malu".

"Tidak tepat membuat tuduhan rambang tiada tindakan pihak saya. Pihak saya telah mengambil daya usaha, untuk bertemu dengan banyak pihak termasuklah pejabat tanah, kerajaan negeri serta agensi terbabit. Malah, saya berbahas di Parlimen mengenai masalah tanah ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jumaat lalu, penduduk terbabit yang menubuhkan Gabungan Generasi Hilang Tanah (Gagah) mahu Kerajaan Negeri Kedah mengambil tanggungjawab menyelesaikan dilema mereka.

Mereka bercadang mengadakan perhimpunan aman di Wisma Darul Aman, di Alor Setar pada 30 Oktober ini bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Nasir berkata, pemimpin PAS menentang keras apabila Kerajaan Negeri yang diketuai Menteri Besar daripada Umno, Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin pada 1973 memberi kebenaran kepada Syarikat Gula Padang Terap Sdn Bhd (GPT) beroperasi dengan tanaman tebu.

Pimpinan PAS ketika itu mengingatkan penduduk kampung agar tidak terpedaya dengan janji manis kerajaan iaitu mereka akan diberikan pampasan yang besar dan projek tersebut akan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

Namun ada penduduk yang terpedaya dan merelakan tanah mereka diambil dan menerima pampasan.

Tanah yang didakwa dimiliki Syarikat Gula Padang Terap yang sekarang dikuasai oleh Tradewind, didapati tiada peta yang jelas dan ianya menimbulkan kekeliruan sempadan tanah sebenar.

Hal ini berlaku kerana Kerajaan negeri di bawah Umno ketika itu menyerahkan tanah tersebut kepada anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Akhirnya berlaku pajakan kecil yang bermula sejak 1995 dan akan berakhir 2055.

"Sudah tentu keputusan ini dibuat oleh pemimpin Umno. Peliknya orang lain yang dituduh. Kenapa tidak dipersoalkan pengkhiatan jelas itu?" soalnya yang telah beberapa kali mengadakan sesi dialog dengan penduduk bagi menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.
Share

Monday, October 10, 2011

BAJET 2012: MANIFESTO PRU 13

MONDAY, 10 OCTOBER 2011
ustaz_nasir_kecik1.jpgMenekuni Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib dan respon segera rakyat menjadikan kita percaya bahawa inilah bajet yang menentukan hidup mati Barisan Nasional. Lebih tepat ia adalah sebuah manifesto yang merupakan satu 'counter offer' atau tawaran balas terhadap bajet Pakatan Rakyat. Tekanan yang kerajaan pimpinan DS Najib hadapi apabila berdepan dengan tawaran Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat adalah kayu ukur terhadap beberapa tindakan terdesak termasuklah pengumuman pemansuhan ISA dan bajet durian runtuh pada kali ini
.

Bajet adalah instrumen utama dalam urus tadbir kewangan kerajaan yang melibatkan perancangan, unjuran pendapatan dan perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang. Inti kepada belanjawan ialah cukai dan perbelanjaan kerajaan demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan, pengawalan inflasi dan pengurangan pengangguran.
Sebagai anak muda, saya ingin membawa tulisan ini bagi melihat secara ringkas bajet ini berdasarkan pemerhatian sepintas lalu. :

Pertama. Bajet ini kata DS Najib ialah Membela Rakyat, Mensejahtera Negara. Kebanyakan tawaran bersifat 'one off' ini betul, boleh menggembirakan dan menghiburkan rakyat yang bersifat sementara. Sebanyak 1.3 juta rakyat yang terdiri daripada penjawat awam agak dilayan oleh Barisan Nasional. Sedangkan jumlah sebenar pekerja di dalam negara kita ialah kira-kira 12 juta. Apa nasib mereka yang terlibat di dalam sektor swasta dan pekerjaan tidak formal.

Kedua. Kesan langsung kenaikan gred sektor awam ini akan menyebabkan sektor masyarakat terbanyak yang terdiri daripada swasta dan pekerja tidak formal berdepan dengan inflasi. Contohnya bagaimana nasib, penoreh getah dan petani di Padang Terap Apakah insentif dalam bentuk polisi yang disediakan kepada khalayak ini. Kuasa beli semakin menurun.

Ketiga. Kerunsingan saya juga ialah berkaitan dengan golongan belia yang menganggur. Menanggung hutang pengajian daripada PTPTN ataupun yang terrcicir daripada pengajian. Golongan belia yang menganggur yang sudah menghampiri 100 ribu daripada golongan siswazah. Berdasarkan unjuran Bajet 2012, pengangguran dalam lingkungan 3.5 peratus. Ia mewakili hampir 400 ribu daripada guna tenaga rakyat Malaysia!!. Unjuran kerajaan itupun masih dipertikaikan oleh pakar ekonomi.

Keempat. Umur pencen yang dinaikkan oleh kerajaan kepada 60 tahun juga menimbulkan reaksi pelbagai. Pada persepsi saya, ia akan menyebabkan peluang pekerjaan baru kepada siswazah dan kenaikan pangkat akan terbeku selama dua tahun paling kurang. Janji Perdana Menteri akan mewujudkan peluang baru melalui sektor swasta adalah sangat subjektif berdasarkan unjuran angka pengangguran yang semakin membesar.

Kelima. Saya sangat gusar apabila bajet yang lebih populis ini hanya menyebut 'durian runtuh' kepada peneroka. Apakah sebenarnya polisi kerajaan untuk membantu anak-anak peneroka generasi kedua dan ketiga FELDA, FELCRA dan lembaga-lembaga seperti KEDA, KETENGAH, KESEDAR dan lain-lain. Penyenaraian Felda Global Ventures yang diumumkan juga menimbulkan beberapa tandatanya termasuklah tentang keperluan Felda mendapatkan kewangan melalui IPO dan pembukaan saham Felda kepada orang luar Felda.

Keenam. Saya masih menunggu pelancaran kerajaan satu Skim Amanah yang patuh syariah. Seingat saya, daripada 10 skim amanah yang dilancarkan oleh kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad, masih belum wujud walaupun satu Skim Amanah yang benar-benar patuh syariah.

Ketujuh. Peruntukan sekolah agama rakyat yang masih dikesampingkan lanjutan dendam politik sejak sekian lama. Tanpa mempertikaikan bantuan kepada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cinadan Tamil serta sekolah agama bantuan kerajaan dan mubaligh, Sekolah Agama rakyat yang berjumlah 161 buah dengan 20 764 orang murid masih tiada cerita. Manakala Sekolah Rendah Agama berjumlah 1132 buah dengan 208,000 pelajar masih terkebelakang.

Kelapan. Arahan khusus agar GLC menggunakan instrumen kewangan Islam dan menggunakan sistem perbankan Islam. Keperluan kerajaan mempunyai perancangan mewajibkan GLC menyokong perbankan Islam. Hanya sekitar 22 peratus penyertaan GLC.

Kesembilan. Saya kecewa apabila bajet ini tidak ditekankan peperangan terhadap rasuah dan ketirisan. Laporan Ketua Audit Negara menganggarkan kira-kira 28 bilion wang rakyat hilang akibat ketirisan dan rasuah pada 2008. Bajet durian runtuh ini akan mendedahkan lebih ruang terhadap berlaku ketirisan.

Kesepuluh. Saya menyambut baik bajet pembangunan fizikal untuk golongan belia. Namun program peningkatan iman, shahsiyyah masih lagi bukan keutamaan kerajaan. Gejala sosial yang parah termasuk kes zina, rogol dan bunuh yang menakutkan tidak akan mampu ditangani tanpa pembangunan bersepadu mental, jasad dan roh.

Kesebelas. Dalam kerancakan industri perbankan dan kewangan Islam Malaysia, kerajaan yang mendakwa ingin terus mengekalkan Malaysia sebagai antara hub kewangan Islam terbaik dunia meneruskan sokongan kepada sistem riba. Dana Perkhidmatan Profesional yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih dalam bentuk pinjaman mudah masih mengenakan faedah 4 peratus.

Kedua belas. Isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat ialah kos sara hidup. Persoalannya adakah bajet kali ini memberi nilai sebenar kepada kos sara hidup rakyat. Fomca telah melaporkan harga makanan naik 83 peratus dalam masa 4 tahun..!!!! Harga gula naik 27 peratus manakala sayur naik 16 peratus, telur, dairy dan daging naik 10 peratus dan buah naik 9 peratus berbanding tahun lepas. Perbelanjaan isirumah utk makanan adalah 40-50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.
Justeru itu, saya masih melihat bahawa bajet ini masih bersifat satu langkah berbentuk populis, tak mengambil kira strategi khusus dengan memberi fardah langsung tanpa mengira impak ekonomi jangka panjang. Apapun Pakatan Rakyat telah memberi satu dimensi baru terhadap penyediaan bajet kerajaan dengan satu pilihan dan tawaran kepada rakyat. Bajet Pakatan Rakyat telah diberi satu perhatian serius oleh kerajaan dan saya percaya diteliti dengan penuh minat oleh rakyat.

YB Mohd Nasir Zakaria
Ahli Parlimen Padang Terap
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Share

Monday, October 3, 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...